Perdana Petroleum tempah dua kapal AHTS baharu bernilai AS$34 juta dari syarikat China, Aulong Shipbuilding

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 6:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Perdana Petroleum tempah dua kapal AHTS baharu bernilai AS$34 juta dari syarikat China, Aulong Shipbuilding Image from: Perdana Petroleum tempah dua kapal AHTS baharu bernilai AS$34 juta dari syarikat China, Aulong Shipbuilding liza03/06/2026 - 18:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun – Perdana Petroleum Berhad memeterai perjanjian dengan Aulong Shipbuilding Co. Ltd bagi pembinaan dua kapal tunda, pengendalian sauh dan bekalan (AHTS) baharu dianggarkan AS$34 juta sebagai sebahagian daripada usaha pengukuhan armada syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Perdana Petroleum berkata pembinaan dua kapal berkenaan merupakan langkah strategik untuk memperkukuh keupayaan operasi dalam sektor sokongan maritim minyak dan gas.

 

Kapal AHTS ini berfungsi untuk menarik dan mengendalikan sauh serta menyokong operasi pelantar minyak di laut dalam.

 

Selain itu, kapal tersebut turut digunakan bagi menghantar peralatan serta membantu operasi logistik di kawasan luar pesisir.

 

“Setiap kapal mempunyai kapasiti daya tarikan kira-kira 60 tan, yang membolehkan ia melaksanakan operasi berat dengan lebih efisien dan stabil,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Perdana Petroleum berkata pembiayaan projek ini akan dilaksanakan melalui gabungan dana dalaman syarikat serta pinjaman daripada institusi kewangan.

 

“Kedua-dua kapal berkenaan dijangka siap dan diserahkan secara berperingkat pada suku ketiga dan suku keempat tahun kewangan 2028.

 

“Selepas siap, kapal ini akan digunakan bagi operasi di pasaran minyak dan gas domestik serta rantau serantau yang sedang menunjukkan pemulihan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perdana Petroleum, Jamalludin Obeng berkata pembinaan dua kapal ini merupakan pencapaian penting dalam pelan pembaharuan armada syarikat.

 

Beliau berkata kali terakhir syarikat membina kapal baharu adalah pada tahun 2012, menjadikan projek ini sebagai langkah besar dalam usaha memodenkan aset operasi yang telah lama digunakan.

 

Menurut beliau, keadaan sektor minyak dan gas ketika ini menunjukkan pemulihan yang semakin stabil disokong oleh aktiviti huluan yang berterusan serta peningkatan penggunaan kapal sokongan di laut.

 

“Kadar sewaan kapal yang lebih kukuh serta permintaan yang stabil dalam segmen tertentu telah membantu memperbaiki keadaan industri secara keseluruhan.

 

“Kehadiran kapal baharu ini akan meningkatkan fleksibiliti operasi syarikat, termasuk keupayaan untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

 

Syarikat itu menjangkakan pembinaan kapal ini akan memberi kesan positif kepada sumbangan pendapatan selepas ia mula beroperasi sepenuhnya dan disewakan kepada pelanggan.

 

Perdana Petroleum berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan profil armada, kecekapan operasi serta pertumbuhan mampan dalam sektor sokongan maritim minyak dan gas pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini standard