
SHAH ALAM – Pelantikan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia yang baharu diharap dapat membawa sinar dan perubahan positif kepada persekitaran pekerjaan di negara ini.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, pendekatan dan kaedah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam tempoh dua tahun lalu disifatkan telah mengecewakan para pekerja, khususnya kesatuan sekerja.
Menurut beliau, beberapa dasar yang dilaksanakan sebelum ini didakwa tidak mengambil kira semangat perbincangan tiga pihak atau tripartite, sekali gus memaksa MTUC membuat aduan kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Akibat tindakan tersebut, Malaysia telah dihadapkan ke Jawatankuasa ILO – Committee of Experts on the Application of Conventions and Recommendations (CEACR) berhubung tingkah laku Kementerian Sumber Manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kamarul Baharin turut mengaitkan tekanan yang dihadapi pekerja dengan tindakan Kesatuan NUBE yang mewakili pekerja bank, apabila terpaksa mengadakan piket secara berulang kali bagi menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap Menteri Sumber Manusia sebelum ini.
Jelasnya, situasi itu menggambarkan bahawa pekerja berada dalam keadaan tertekan dan tidak berpuas hati dengan pendekatan kementerian.
Beliau menegaskan, MTUC sebagai Pusat Buruh Kebangsaan yang telah menjalankan fungsinya sebagai rakan kepada kerajaan dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) selama 70 tahun, amat kecewa dengan pendekatan yang dilaksanakan sebelum ini.
Sehubungan itu, MTUC meletakkan harapan besar agar Ramanan dapat melaksanakan penetapan semula atau reset terhadap Kementerian Sumber Manusia.
“Perbincangan tiga pihak antara MTUC, MEF dan kerajaan adalah kunci kepada penyelesaian perbezaan pendapat. Ikatan tiga pihak ini penting untuk membawa kepada kesefahaman dan keharmonian dalam perusahaan,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Kamarul Baharin turut berharap agar Menteri Sumber Manusia yang baharu dapat meluangkan masa bertemu dengan pegawai-pegawai MTUC yang telah dilantik pada Ogos lalu.
MTUC juga berharap satu pertemuan secara empat mata dapat diadakan bersama Ramanan bagi berkongsi pandangan dan idea demi kesejahteraan pekerja di Malaysia.
