Muafakat Kerajaan Perpaduan mantap, tiada sabotaj – PM Anwar

LocalPolitics
30 Dec 2025 • 7:04 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata muafakat Kerajaan Perpaduan mantap dan ikhlas, berbeza dengan pergolakan dalam perikatan politik lain.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata muafakat Kerajaan Perpaduan amat mantap tanpa sebarang usaha sabotaj atau khianat.

Beliau berkata ia berbeza dengan situasi yang sedang berlaku dalam perikatan politik lain.

“Saya bersyukur, Alhamdulilah kerana muafakat Kerajaan Perpaduan MADANI itu lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj khianat seperti yang berlaku dalam kalangan rakan-rakan lain,” katanya pada sidang media khas di sini.

Beliau mengulas perkembangan politik tanah air yang menyaksikan pergolakan dan krisis kepimpinan dalam Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Beliau meletak jawatan selepas lima tahun mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.

Peletakan jawatan itu kemudiannya disusuli beberapa pemimpin lain.

Mereka termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN.

Turut meletak jawatan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal selaku Pengerusi PN Johor.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) serta ADUN Labu Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan) turut meletak jawatan.