Muafakat Nasional belum serius, yang penting Kerajaan Perpaduan tetap utuh: Anwar

LocalPolitics
2 Jan 2026 • 3:40 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Gesaan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) masih belum serius namun apa yang penting ialah Kerajaan Perpaduan tetap utuh, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, setakat ini tiada khabar diterima mengenai kemungkinan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali.

“Itu belum serius lagi. Saya belum menerima sebarang maklumat. Terpulang kepada setiap parti.

“Apa yang penting sekarang ialah kerajaan perpaduan kekal utuh dan semua pihak telah berikrar untuk memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi serta menjaga kebajikan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang,’’ katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, di Petaling Jaya, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan untuk menghidupkan semula MN.

Muafakat Nasional, yang ditubuhkan pada 2019, merupakan pakatan politik Melayu-Islam antara Umno dan Pas.

Bagaimanapun kini timbul gesaan untuk menghidupkan semula MN oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan krisis politik yang berlaku di Perlis.

Saranan Akmal itu disambut oleh Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari yang menyifatkan cadangan berkenaan merupakan kunci kepada kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah. - 2 Januari, 2026

The post Muafakat Nasional belum serius, yang penting Kerajaan Perpaduan tetap utuh: Anwar appeared first on Scoop.