Muafakat Nasional: Bukan Cadangan Rasmi, Kerajaan Perpaduan Kekal Utuh - PM

LocalPolitics
2 Jan 2026 • 4:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Gesaan segelintir pihak agar gabungan Muafakat Nasional dihidupkan semula bukan sesuatu yang dipandang serius, kerana Kerajaan Perpaduan masih stabil dan utuh.

Menegaskan perkara ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak menerima sebarang info rasmi berhubung gesaan tersebut.

Bagaimanapun katanya, penubuhan semula pakatan politik melibatkan UMNO dan PAS itu terpulang kepada budi bicara setiap parti terlibat.

"Itu belum serius. Saya tidak menerima sebarang maklumat rasmi mengenainya. Ia terpulang kepada setiap parti,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah di Petaling Jaya hari ini.

Jelas Perdana Menteri, fokus utama ketika ini ialah memastikan kerajaan perpaduan terus berfungsi dengan baik dan semua pihak memberi tumpuan kepada agenda pertumbuhan ekonomi serta pemeliharaan kebajikan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

“Apa yang penting sekarang ialah kerajaan perpaduan kekal utuh dan semua pihak telah berikrar untuk memberi fokus kepada pembangunan ekonomi serta kebajikan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Anwar meluangkan kira-kira 25 minit menjamu selera bersama penduduk setempat di sebuah premis makanan berhampiran, sebelum beramah mesra dengan orang ramai dan seterusnya menunaikan solat Jumaat.

Mengulas ketegangan dalaman antara parti pembangkang BERSATU dan PAS yang mencetuskan semula perbincangan sebahagian pemimpin UMNO dan PAS mengenai kemungkinan menghidupkan semula Muafakat Nasional, Anwar menegaskan perkara itu tidak memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan.

“Itu soal cita-cita dan kebimbangan mereka sendiri. Sama ada mereka berpecah atau tidak bukan urusan saya. Kami tidak terlibat.

“Itu isu PAS dan BERSATU, bukan isu Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.

Muafakat Nasional, yang ditubuhkan pada 2019, merupakan pakatan politik antara UMNO dan PAS, bertujuan menyatukan sokongan pengundi Melayu-Islam serta menyelaras strategi pilihan raya.

Bagaimanapun, pakatan tersebut dilihat terhenti selepas PAS memilih untuk bekerjasama dengan BERSATU di bawah Perikatan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Walaupun gesaan untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional kembali kedengaran susulan ketegangan dalam Perikatan Nasional dan perkembangan politik semasa, Anwar menegaskan cadangan tersebut masih sekadar pandangan individu dan belum diterjemahkan kepada sebarang keputusan rasmi oleh mana-mana parti.

Buat masa ini, katanya, Kerajaan Perpaduan kekal memberi tumpuan kepada agenda tadbir urus, pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, dengan rakan-rakan gabungan komited untuk terus bekerjasama sehingga pilihan raya umum akan datang. - Getaran, 2 Januari 2026