johardy30/09/2026 - 17:45 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Sept - G3 Global Berhad memfailkan saman terhadap anak syarikat milik penuh IRIS Corporation Berhad bagi menuntut RM567,899.20 berhubung invois yang didakwa belum dibayar, berserta faedah.
G3 memfailkan saman terhadap Iris Information Technology System Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 September, menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat itu mendakwa defendan gagal dan enggan menjelaskan jumlah tertunggak dalam tempoh kredit yang ditetapkan dalam kontrak mahupun selepas tempoh tersebut, walaupun peringatan dan tuntutan rasmi telah dikemukakan.
Menurut G3, perkara itu merupakan pelanggaran asas kontrak. Tuntutan tersebut membabitkan invois I-000085 yang perlu dijelaskan pada 25 Mei 2023. G3 turut menuntut faedah sebanyak 5% setahun ke atas jumlah tertunggak, dikira dari tarikh tersebut sehingga bayaran penuh dibuat.
Setakat tarikh makluman itu, tiada tarikh pendengaran atau perbicaraan ditetapkan dan mahkamah belum membuat keputusan berhubung tuntutan tersebut.
G3 berkata, peguamnya berpandangan syarikat itu mempunyai peluang yang agak kukuh untuk berjaya dalam tuntutan tersebut berdasarkan bukti yang tersedia serta dakwaan kegagalan defendan membuat bayaran meskipun peringatan dan tuntutan rasmi telah dikemukakan.
Kesan kewangan belum dapat dipastikan
Syarikat itu berkata, kesan kewangan muktamad litigasi tersebut terhadap kumpulan, jika ada, belum dapat dipastikan pada peringkat ini. Bagaimanapun, litigasi itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap operasi perniagaan harian kumpulan.
Sebagai plaintif yang menuntut bayaran tertunggak, G3 berkata, pihaknya pada masa ini tidak menjangkakan akan menanggung liabiliti bagi jumlah yang dituntut, tertakluk kepada keputusan prosiding. Namun, syarikat akan menanggung yuran guaman dan kos lain berkaitan litigasi.
G3 telah melantik firma guaman Kanesalingam & Co. untuk mewakilinya dan akan mengambil langkah yang diperlukan bagi meneruskan tuntutan serta memaklumkan perkembangan material kepada Bursa Malaysia.
Lembaga pengarah berpandangan syarikat mempunyai asas yang munasabah untuk meneruskan tuntutan selepas mempertimbangkan keadaan yang membawa kepada litigasi serta nasihat peguamnya. - DagangNews.com






