MUDA Negeri Sembilan desak henti percaturan politik, fokus kebajikan rakyat

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 8:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MUDA Negeri Sembilan desak henti percaturan politik, fokus kebajikan rakyat
MUDA Negeri Sembilan mendesak semua pihak supaya menghentikan percaturan politik yang berlaku.

SEREMBAN - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Negeri Sembilan mendesak semua pihak supaya menghentikan percaturan politik yang berlaku dan mengembalikan fokus kepada pentadbiran negeri serta kebajikan rakyat.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya berkata rakyat tidak memilih wakil untuk bermain politik kuasa, sebaliknya memilih wakil untuk mentadbir.

"MUDA Negeri Sembilan memandang serius tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Tindakan ini jelas menggugat kestabilan negeri dan sekali lagi membuktikan bahawa politik penarikan sokongan terus digunakan sebagai alat tekanan kuasa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, MUDA Negeri Sembilan juga tidak akan menutup mata terhadap kegagalan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang membiarkan kemelut ini berlarutan sehingga menjejaskan tadbir urus negeri.

Tambahnya, kedua-dua pihak telah gagal menjunjung amanah rakyat. Malah, kemelut yang melibatkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sepatutnya ditangani dengan penuh diplomasi, ketelusan dan penghormatan terhadap institusi adat Negeri Sembilan.

"Sebaliknya, kegagalan rundingan dan ketiadaan penyelesaian tuntas telah membuka ruang kepada percaturan politik yang akhirnya memangsakan rakyat.

"Penangguhan Persidangan Dewan Undangan Negeri pada hari ini (Isnin) adalah bukti jelas bahawa kepentingan politik telah mengatasi kepentingan rakyat," katanya.

Jelasnya, Negeri Sembilan bukan medan tawar-menawar kuasa dan adat perpatih berdiri atas nilai muafakat serta keluhuran, bukannya percaturan politik sempit.

Ujarnya, corak yang sama terus berulang di negara ini, di mana kestabilan negeri dikorbankan demi kepentingan politik jangka pendek.

"MUDA Negeri Sembilan menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya terus menjadi mangsa kepada kegagalan kedua-dua pihak untuk mentadbir dengan matang dan berintegriti," katanya.