Rafizi Sokong Aminuddin, ‘Setiap Yang Berlaku Pasti Ada Hikmah’

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 7:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Rafizi Sokong Aminuddin, ‘Setiap Yang Berlaku Pasti Ada Hikmah’

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembulan, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan kemelut politik yang sedang melanda Negeri Sembilan, sambil menyifatkan pemimpin itu seperti abang kandungnya.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Rafizi berkata beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai situasi berkenaan, namun telah menghubungi Aminuddin pagi tadi bagi bertanyakan keadaan semasa.

“Saya tidak mengetahui secara terperinci apa yang berlaku di Negeri Sembilan, namun saya sudah menganggap Aminuddin Harun ini seperti abang saya, dan isterinya seperti kakak kepada isteri saya.

“Saya hanya mampu mendoakan dari jauh seperti seorang adik kepada abangnya. Saya sempat menghubunginya sekitar jam 10 pagi tadi,” katanya.

Menurut Rafizi, Aminuddin kedengaran ceria dan berada dalam keadaan baik ketika dihubungi.

Katanya lagi, panggilan itu dibuat sekadar untuk bertanya khabar dan bersyukur apabila Aminuddin kedengaran ceria. 

“Saya sekadar bertanya khabar. Suaranya ceria dan bersemangat. Beliau memaklumkan baru sahaja melawat dua sekolah dan merancang untuk melawat empat lagi hari ini, namun singgah sebentar di sebuah gerai untuk bersarapan bersama isterinya,” katanya lagi.

Terdahulu, seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan dilaporkan sebulat suara hilang kepercayaan terhadap pentadbiran negeri yang diterajui Aminuddin serta menarik semula sokongan mereka.

Perkembangan itu menyusul krisis yang dilaporkan melibatkan institusi adat negeri dan perkara berkaitan perlembagaan.

Bagaimanapun, Rafizi menegaskan beliau tidak terlalu bimbang terhadap situasi yang dihadapi Aminuddin, sebaliknya yakin dengan keperibadian serta kemampuan pemimpin tersebut untuk berdepan cabaran.

“Saya mengenali beliau sejak tinggal di rumah teres setingkat, dan perwatakannya tidak berubah.

“Apa pun yang berlaku, Insya-Allah tidak akan menggugat Tok Min (Aminuddin) dan Kak Wan (Wan Hasni Wan Yusof), apa yang berlaku pastu ada hikmah dalam setiap perkara.

“Itulah kekuatan mereka yang memahami bahawa pangkat dan kedudukan hanyalah amanah, sesuatu yang dipinjamkan sementara,” katanya. - Getaran, 27 April 2026