
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap kali tibanya Ramadan tak dinafikan selain seronok menjalankan ibadah, bazar juga sering menjadi perhatian ramai.
Selain memberi sokongan kepada peniaga dengan membeli produk yang dijual, kita juga sebenarnya ingin merasai kemeriahan di bazar tersebut.
Malah pada tahun ini, ramai yang sudah mula menyenaraikan lokasi tapak bazar yang boleh dikunjungi di media sosial.
Inforgrafik Perbadanan Putrajaya mengenai bazar Ramadan raih perhatian
Baru-baru ini infografik daripada Perbadanan Putrajaya mengenai Lot Bazar Ramadan Putrajaya Presint 3 telah menjadi perhatian ramai.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh seorang pengguna di Threads, kelihatan inforgrafik mengenai bazar Ramadan itu lengkap dengan label.
Turut buat pelaksanaan ‘Go Green’
Malah pihak Perbadanan Putrajaya turut memaklumkan mengenai pelaksanaan ‘Go Green’ yang dijalankan di bazar tersebut seperti:
- Peniaga tak menyediakan plastik sekali guna kecuali beg biodegradasi (peniaga dibenarkan mengenakan caj RM0.20 kepada pelanggan untuk beg biodegradasi)
- Pengunjung membawa beg atau bekas sendiri
- Pengunjung digalakkan menyumbang beg guna semula di kaunter yang disediakan di Pintu Masuk Utama Bazar untuk kegunaan pengunjung lain
- Transaksi bayaran tanpa tunai
Selain itu, mereka turut menyediakan peta lokasi untuk setiap tapak jualan dan melabelkannya.
Sebagai contoh label berwarna seperti:
- Hijau ialah makanan atau berasaskan lauk-pauk
- Biru – minuman atau kopi
- Peach – juadah ringan atau kuih,
- Kuning – tebu atau kelapa,
- Merah – makanan bakar dan banyak lagi.
- Pink – kaunter zakat atau urusetia
Sebanyak 291 lot niaga telah disediakan dengan saiz 10×10 yang memulakan operasi jualan jam 3.00 petang hingga 8.00 malam.

Selain peta, Perbadanan Putrajaya turut menyenaraikan nama-nama kedai termasuk jenis makanan yang dijual seperti ayam goreng, otak-otak dan sebagainya.
Turut senaraikan pelbagai tarikan lain sempena FRP2026
Menerusi semakan kami di Facebook Perbadanan Putrajaya, beberapa tarikan turut disenaraikan sempena Festival Ramadan Putrajaya 2026 (FRP2026) pada 18 Februari hingga 19 Mac.
Selain bazar Ramadan Presint 3, orang ramai juga boleh berkunjung ke Gastroseni (Kompleks PPJ) yang turut mempunyai pelbagai jualan makanan, pelancongan, seni atau kraf, dan lot pasar kopi.
Jualan di Gastroseni mula beroperasi dari jam 3.00 petang hingga 12 tengah malam. Malah bagi mereka yang merancang untuk berbuka puasa pula boleh berkunjung ke Laman Iftar dan Tazkirah (Padang Kompleks PPJ) atau boleh juga berbuka puasa di sekitar kawasan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Bagi yang ingin mencari kelengkapan Hari Raya pula boleh singgah ke Anjung Syawal yang beroperasi dari 12.00 tengah hari-12.00 tengah malam (Isnin hingga Jumaat) dan 10.00 pagi-12.00 tengah malam bagi operasi pada hari Sabtu dan Ahad.
Apa yang lebih menarik, panduan bagi penggunaan bas Rapid dari stesen MRT Putrajaya Sental ke FRP2026 turut dikongsikan kepada orang ramai.

Menjengah ke ruangan komen di Threads, ramai yang memuji insiatif dilakukan Perbadanan Purtajaya kerana menyediakan infografik yang lengkap untuk menjadi rujukan pengunjung.
Bukan hanya itu, ada yang menyifatkan ia memudahkan kerana pengunjung boleh menjimatkan masa untuk memilih makanan atau tapak jualan mana yang ingin dikunjungi.
Ia juga secara tak langsung dapat mengurangkan kesesakan sewaktu berada di bazar Ramadan berkenaan.
View on Threads
Berikut adalah komen netizen:
“Itu bagaimana Putrajaya mengasingkan diri mereka daripada yang lain”

“Boleh singgah sini mengisi masa lapang”

“Bagus tu, seperti di Singapura bazaar Ramadan mereka dibuka 7-8 hari lebih awal, bagi peluang semua merasa juadah dan menjual kualiti dan rasa. Paling best boleh cuba sebelum berpuasa esok..”



![Jangan Sampai Melebihi Bajet, Ini Tips Elak Membazir Ketika Membeli Juadah Di Bazar Ramadan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/personal-finance.jpeg)

