
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Apalah nikmat sesetengah makanan jika tidak dihidangkan dalam keadaan panas, lebih-lebih lagi jika ia jenis sup, gorengan atau rebusan. Dinikmati pula dalam cuaca sejuk atau hujan, tentu saja ia memberi kepuasan luar biasa.
Namun ramai tidak sedar, dalam keghairahan menikmati hidangan panas, ada beberapa batas yang telah digariskan oleh Islam. Salah satunya ialah larangan meniup makanan atau minuman panas, terutama ketika ingin menyejukkannya.
Hakikatnya, larangan ini bukan sekadar isu remeh, tetapi berkait rapat dengan adab, kebersihan, dan juga potensi risiko kesihatan seperti yang dibuktikan dalam kajian Sains moden hari ini.
Baca Artikel Berkaitan: “Guna Agama Untuk Menunjuk Tergolong Dalam..” – Hukum Syirik Besar & Kecil, UAI Dedah Perbezaannya
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Sokong Perjuangan Iran Terhadap Musuh Islam Biarpun Beza Mazhab? Ini Penjelasan UAI
Baca Artikel Berkaitan: Bolehkah Pesakit Gastrik Tidak Berpuasa? Ini Penjelasan UAI
Larangan Tiup Makanan Bukan Sekadar Isu Adab
Menerusi penjelasan rasmi oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum meniup makanan atau minuman panas telah diperincikan berdasarkan hadis sahih dan pendapat para ulama.
Larangan ini bukan semata-mata soal adab di meja makan, tetapi turut melibatkan aspek kebersihan, akhlak dan perlakuan yang diajar oleh Rasulullah SAW.
Antara sebab larangan ini disebut sebagai makruh ialah:
- Bimbang tercemar
Tiupan boleh menyebabkan air liur atau bau mulut masuk ke dalam makanan atau minuman dan mencemarkannya. - Berkongsi bekas
Jika makanan atau minuman dikongsi, meniupnya boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada orang lain. - Menampakkan sikap gelojoh
Tindakan meniup makanan dianggap tergesa-gesa dan tidak sabar, sedangkan Islam mendidik umatnya agar tenang dan beradab ketika makan. - Menghilangkan keberkatan
Sebahagian ulama menyebut bahawa makan ketika terlalu panas boleh mengurangkan keberkatan makanan tersebut. - Menyerupai sifat ahli neraka
Makanan yang terlalu panas dikaitkan dengan ciri makanan penduduk neraka dalam sesetengah tafsiran hadis.
Namun, larangan ini tidaklah mutlak. Para ulama menyatakan bahawa hukum meniup makanan adalah harus dalam keadaan tertentu terutamanya:
- Apabila seseorang makan bersendirian dan tidak mengganggu sesiapa
- Jika terdapat keperluan atau mudarat yang perlu dielakkan, contohnya untuk menyejukkan makanan agar tidak melecurkan lidah
- Jika tiupan dilakukan secara perlahan dan tidak mencemarkan makanan
Antara tokoh ulama yang menjelaskan hal ini termasuk Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-‘Asqalani, Imam al-Syaukani, dan Imam al-Mardawi.
Kesemua mereka bersetuju bahawa tiupan dilarang atas dasar adab, dan bukannya pengharaman yang bersifat mutlak.
Penjelasan Sudut Sains, Bahaya Makanan Panas Kepada Tekak

Kajian terkini oleh International Agency for Research on Cancer (IARC) menunjukkan bahawa makanan dan minuman yang sangat panas (lebih 65°C) boleh meningkatkan risiko kanser esofagus.
Berdasarkan kajian itu, pengambilan makanan atau minuman panas secara tergesa-gesa, tanpa menunggu ia sejuk, meningkatkan risiko kanser sehingga 4.6 kali ganda berbanding mereka yang makan secara perlahan dan menunggu suhu turun.
Antara faktor yang diukur dalam kajian tersebut termasuk dengan:
- Suhu makanan atau minuman ketika diambil
- Masa menunggu sebelum mula makan atau minum
- Kelajuan ketika makan
- Kekerapan mulut melecur akibat makanan atau minuman panas
Kajian ini menyimpulkan bahawa mengelak makanan atau minuman terlalu panas boleh mengurangkan risiko penyakit esofagus, terutama jika diamalkan secara konsisten.
Ia sejajar dengan garis panduan IARC yang mengklasifikasikan minuman sangat panas sebagai berkemungkinan karsinogenik kepada manusia.
Hikmah Larangan Dalam Agama & Kaitan Dengan Sains

Untuk menjelaskan secara mudah, Islam tidak akan melarang sesuatu tanpa sebab yang kukuh. Larangan meniup makanan atau minuman panas seperti yang disebut dalam hadis sebenarnya mengandungi banyak hikmah.
Ini termasuklah dengan cara penjagaan kebersihan, pengekalan adab ketika makan, dan tujuan mendidik sikap sabar. Ia juga bagi mengelakkan rasa tidak selesa jika makanan dikongsi bersama orang lain.
Dari sudut Sains, pengambilan makanan atau minuman yang terlalu panas terbukti boleh merosakkan tisu dalaman dan meningkatkan risiko kanser esofagus. Maka larangan ini selari dengan usaha menjaga kesihatan individu.
Gabungan panduan agama dan penemuan Sains menunjukkan bahawa sunnah Nabi SAW sentiasa relevan dan bermanfaat, bukan sahaja untuk rohani tetapi juga untuk kesejahteraan jasmani.
Baca Artikel Berkaitan: Nama Nabi Dalam Versi Inggeris, Sah Ke Digunakan Atau Lebih Baik Versi Arab? Ini Penjelasan Mufti
Baca Artikel Berkaitan: Suami Wajib Cari Rumah Lain Jika Isteri Tak Selesa Dengan Keluarga Mentua – UAI
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Jatuh Talak Atau Tidak? Ini Penjelasan UAI Bila Ada Suami Orang Mengaku Bujang Depan Wanita Lain




