
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 menerima sokongan baik Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.
Menurut beliau, RUU itu diyakini mampu memainkan peranan sebagai punca kuasa kepada Pejabat Mufti Wilayah-Wilayah untuk penambahbaikan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Saya turut menyokong syarat pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti dalam kalangan individu yang berpegang kepada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah daripada aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyyah.
“Dari aspek Syariat mengikut Mazhab Syafie (boleh berpegang kepada Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali atau ijtihad hukum yang memberi maslahah kepada masyarakat Islam) dan dari aspek Tasawuf berdasarkan pegangan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali r.h,” katanya.
Jelas Syeikh Fadzil, peruntukan terkandung dalam RUU itu juga disifatkan sangat mantap dan menyeluruh.
“Ia merangkumi bidang kuasa Pejabat Mufti Wilayah-Wilayah iaitu Fatwa, Falak dan Tauliah Mengajar Agama Islam.
“RUU ini diharapkan dapat menjadi platform terbaik dalam usaha memantapkan pengurusan pentadbiran Pejabat Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya.
Rang Undang-Undang Mufti 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu lepas.
RUU itu antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan. - Getaran, 9 Julai 2024

