Mufti tegur trend pakai tudung selit celah telinga

5 Sep 2026 • 8:03 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mufti tegur trend pakai tudung selit celah telinga

GEORGE TOWN – Trend pemakaian tudung yang menampakkan telinga dan leher selain dililit ke belakang tengkuk diselar kerana dikhuatiri mengelirukan masyarakat mengenai tuntutan sebenar menutup aurat.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, kebelakangan ini ramai artis dan figura awam memilih untuk berhijab serta tampil dengan imej lebih sopan sewajarnya dihargai dan perubahan itu sewajarnya dihargai.

“Namun, terdapat gaya bertudung yang menjadi trend apabila tudung hanya diletakkan di kepala, tetapi bahagian telinga dan leher masih terdedah serta tak menutupi dada dengan sempurna.

“Lebih membimbangkan apabila gaya sebegini menjadi trend dan mula ditiru anak muda. Persoalan ini bukan semata-mata soal fesyen, sebaliknya berkaitan kefahaman masyarakat terhadap tuntutan menutup aurat,” kata­nya kepada Kosmo! semalam.

Image from: Mufti tegur trend pakai tudung selit celah telinga
MOHD. SUKKI

Menurut beliau, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud, ‘Dan hendaklah mereka menutupkan tudung kepala mereka ke bahagian dada mereka.’

Katanya, pemakaian tudung bukan sekadar meletakkan kain di atas kepala, sebaliknya terdapat tuntutan syarak yang perlu dipelihara.

“Rambut, telinga dan leher termasuk bahagian aurat wanita yang perlu ditutup di hadapan lelaki ajnabi, manakala tudung hendaklah dilabuhkan sehingga menutupi bahagian dada.

“Kita tidak pertikai kreativiti dalam berfesyen. Islam tidak menghalang seseorang tampil kemas, cantik dan mengikuti perkemba­ngan semasa tetapi fesyen hendaklah tunduk kepada syariat, bukan syariat diubah untuk menyesuaikan diri de­ngan fesyen,” katanya.

Beliau turut mengingatkan artis dan pempengaruh supaya menyedari kedudukan mereka yang mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat, khususnya golongan muda.

“Apa sahaja yang dipakai, dilakukan dan dipaparkan oleh figura awam berpotensi menjadi ikutan ratusan ribu malah jutaan pengikut. Apabila seorang artis menggayakan tudung dengan cara tertentu, esok mungkin ribuan remaja mengikutinya.

“Apabila sesuatu gaya dilakukan berulang kali oleh ramai figura terkenal, lama-kelamaan ia boleh dianggap normal dan diterima sebagai gambaran pemakaian Muslimah yang menepati syariat,” katanya.

Ujarnya, teguran agamawan terhadap perkara itu tidak seharusnya dianggap sebagai mencari kesalahan artis atau mencampuri kehidupan peribadi mereka.

“Tugas agamawan bukan meng­hukum manusia tetapi menjelaskan sempadan agama apabila ia semakin kabur. Kita bimbang jika perkara yang tidak menepati tuntutan menutup aurat dibiar tanpa penjelasan, ge­nerasi muda akhirnya tidak lagi dapat membezakan antara ‘memakai tudung’ dengan ‘menutup aurat’,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

The post Mufti tegur trend pakai tudung selit celah telinga appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved