Mufti Terengganu Tegur Trend Menari Lagu ‘Alamak Raya Lagi’ Boleh Jatuh Hukum Haram Sebab…

Entertainment
17 Apr 2024 • 1:20 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Lagu raya oleh kumpulan De Fam yang berjudul ‘Alamak Raya Lagi’ menjadi fenomena yang popular pada raya tahun ini apabila lagu ini turut trending sehingga ke luar negara.

Dapat dilihat ramai pengguna media sosial yang mengambi peluang membuat video tarian lagu tersebut bersama ahli keluarga semasa menyambut perayaan baru-baru ini.

Namun, Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Harun telah membuat teguran mengenai trend menari lagu raya terbabit yang menjadi ikutan ramai terutama kaum wanita beragama Islam kerana ia boleh membawa kepada hukum haram sekiranya mendedahkan aurat pelakunya.

image is not available

Menurut beliau, trend yang dilakukan semata-mata untuk kandungan media sosial itu perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah dan mempamerkan aurat wanita.

Jelasnya, tindakan itu turut menunjukkan reputasi negatif kepada individu yang melakukannya selain mencemarkan perayaan yang disambut oleh semua umat Islam.

“Sepatutnya perbuatan tersebut dielakkan kerana boleh menonjolkan aurat yang boleh membawa kepada haram.

“Sebarang perbuatan yang negatif sudah pasti mencemarkan keharmonian perayaan Aidilfitri itu sendiri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir masyarakat yang beragama Islam apabila mudah mengikuti trend terkini sehingga melupakan batas agama.

“Kita kesal dengan masyarakat kita yang suka membuat trending apabila ada sesuatu yang dilihat baharu tanpa berfikir sama ada ia positif atau negatif.

“Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya jangan mudah terikut-ikut dengan budaya baharu.

“Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu, jika tidak, ia dibimbangi akan menjerumuskan diri kepada fitnah yang mencemarkan budaya harmoni kita.”

Teguran ini juga turut dimuat naik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Facebook.

Terdahulu, beberapa pendakwah bebas telah berkongsi pandangan mengenai trend menari lagu raya ini khususnya kepada golongan wanita.

Namun, ada selebriti yang membidas teguran berkenaan dengan mempersoalkan kenyataan pendakwah bebas yang membezakan tahap dan kedudukan seorang wanita.

image is not available

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.