
PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi menyifatkan pencapaian cemerlangnya dalam acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Bawah 20 tahun (B-20) di Cali, Colombia sebagai satu permulaan buat dirinya bagi mengharungi kejohanan olahraga di peringkat dunia.
Menerusi laman Twitternya, atlet kelahiran Ipoh, Perak berusia 18 tahun itu berkata, biarpun sekadar menamatkan acara akhir 100 meter (m) pada kedudukan kelima, namun dia bertekad untuk terus memandang ke hadapan dan memberikan fokus bagi mengharungi acara 200m yang dijadualkan bermula pada Khamis.
“Ini hanya permulaan, memperkenalkan diri saya kepada dunia, ya kita ke hadapan! Esok (Khamis) 200m.
“5th in the world thank you Malaysia! (kelima di dunia, terima kasih Malaysia!),” katanya pada laman Twitter berkenaan.
Untuk rekod, Muhammad Azeem menamatkan acara final 100m pada kedudukan kelima dengan catatan masa 10.14 saat (s) di Stadium Olimpik Pascual Guerrero pada Rabu.
Catatan masa itu turut mengatasi catatan masa Muhammad Azeem di peringkat separuh akhir apabila sekali gus memperbaiki catatan 10.19s yang dilakukannya pada saingan separuh akhir sebelum itu.
Acara berkenaan dimenangi atlet Botswana, Letsile Tebogo yang turut mencatatkan rekod baharu dunia, 9.91s, atlet Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie mencatatkan 10.02s di tempat kedua, manakala atlet Afrika Selatan, Benjamin Richardson mencatatkan 10.12s (ketiga) dan wakil Thailand, Puripol Boonson menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat dengan 10.12s.
Pada Selasa, Azeem mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s sekali gus mengungguli saingan bagi saringan lapan dan melangkah ke peringkat separuh akhir.
Catatan direkodkan Azeem itu turut menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan yang sebelum ini dipegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s ketika menjuarai saingan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.
