Muhammad Hafiz juara dendangan syair Karnival Rakyat Karangkraf

26 Jul 2024 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peserta bergambar bersama Masitah (empat kiri) selepas majlis penyampaian hadiah

image is not available
Muhammad Hafiz (kanan) mewakili SMK Telok Gadong menjuarai Sayembara Dendangan Syair Kembalikan Nostalgia sempena Karnival Rakyat Karangkraf di sini

image is not available
Nur Ain (dua kanan) dinobatkan sebagai juara peringkat SK selepas melagukan syair yang bertajuk kelebihan ilmu irama perindu.

SHAH ALAM - Muhammad Hafiz Suhaimi mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Gadong menjuarai Sayembara Dendangan Syair Kembalikan Nostalgia sempena Karnival Rakyat Karangkraf di sini.

Melagukan syair nasihat irama Tok Kenali, anak bongsu 12 beradik itu membawa pulang wang tunai sebanyak RM100 berserta hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dimenangi pelajar dari SMK Seri Desa, Fatimatuz Zehra Rohalim manakala Hasya Zafrina Mohd Hazril di tempat ketiga, masing-masing membawa pulang wang tunai RM70 dan RM50 serta sijil penyertaan.

**media[2741014]**

Sementara bagi peringkat sekolah rendah, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Meranti, Sepang, Nur Ain Najwa Zulfan dinobatkan sebagai juara selepas melagukan syair yang bertajuk kelebihan ilmu irama perindu.

Tempat kedua dimenangi murid dari SK Sri Langat, Muhammad Aisy Wildan Mohd Azami manakala Ameer Hazeeq Mohd Zaky di tempat ketiga, masing-masing membawa pulang wang tunai jumlah sama serta sijil penyertaan.

Acara penyampaian hadiah disempurnakan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Masitah Leman.

Terdahulu, peserta dan guru pengiring yang ditemui menyifatkan penganjuran sayembara itu dapat memartabatkan puisi sebagai warisan kebangsaan, sekali gus memperkasakan penggunaan bahasa Melayu.

Muhammad Hafiz pula berkata, selain memastikan syair tidak pupus ditelan zaman, penganjuran sayembara itu dapat menjadi sebahagian usaha mendedah dan mendidik masyarakat mengenai keindahan syair.

**media[2741012]**

"Sayembara ini juga dapat menjadi pelantar kepada penggunaan bahasa Melayu yang indah dan betul sesuai peranannya sebagai identiti negara yang perlu didaulat serta diperkasakan," ujarnya yang mula aktif mendendangkan syair sejak beberapa tahun lalu.