‘Saya nak rasai pengalaman sukan rakyat orang dahulu’ - Pelajar

26 Jul 2024 • 12:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aktiviti sukan rakyat menjadi acara yang paling dinanti-nantikan oleh murid dan guru.

image is not available
Muhammad Aizam Aiman

image is not available
Suasana hari pertama Hari Kantin Karnival Rakyat Karangkraf pada Jumaat.

image is not available
Ahmad Darwisy

image is not available
Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang tiga hari berlangsungnya Karnival Rakyat Karangkraf antaranya dikir barat, puisi lagu, sukan rakyat dan sebagainya.

SHAH ALAM - Acara sukan rakyat di Karnival Rakyat Karangkraf menjadi aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh murid-murid dan guru kerana ia membawa kelainan dan pengalaman berbeza.

Murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sri Damansara 2, Muhammad Aizam Aiman Saari berkata, sebelum ini dia tidak mengetahui kewujudan sukan tradisional seperti tating lawi, tuju tin dan sebagainya.

“Kami (generasi Z) hanya tahu e-sukan dan sama sekali tidak pernah didedahkan dengan permainan tradisional. Jadi aktiviti sukan rakyat menjadi tujuan utama saya mengikuti rombongan sekolah pada hari ini.

“Saya mahu merasai pengalaman yang ‘orang dahulu’ lakukan. Saya tidak sangka aktiviti ini begitu menyeronokkan kerana ia benar-benar lain dengan permainan anak muda zaman kini,” katanya ketika ditemui di Pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Jumaat.

Dalam pada itu, Muhammad Aizam Aiman memberitahu, melalui aktiviti sukan rakyat itu, dia berupaya untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan mengatur strategi.

Jelasnya, pengalaman berkomunikasi dalam permainan e-sukan adalah berbeza kerana ia melibatkan pertemuan empat mata.

“Memandangkan kesemua murid yang terlibat tidak pernah didedahkan dengan sukan tradisional, jadi bagi saya ia adil kerana semua bermula daripada kosong,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Darwisy Razali,17, berkata, Karnival Rakyat Karangkraf merupakan platform yang membantu murid-murid untuk memperkukuhkan hubungan sosial, komunikasi dan berfikir.

Menurutnya, aktiviti-aktiviti yang diadakan di karnival itu membantu murid-murid memupuk semangat berpasukan.

“Hari ini saya hadir kerana pihak sekolah (SMK Bandar Sri Damansara 2) menghantar seramai 10 orang wakil murid untuk menyertai sukan rakyat.

“Ini merupakan kali pertama saya dan rakan-rakan menyertai sukan rakyat. Memandangkan kami tidak pernah main, jadi agak sukar untuk merancang strategi. Semuanya bergantung kepada komunikasi sahaja,” katanya.

Karnival Rakyat Karangkraf berlangsung selama tiga hari bermula 26 Julai hingga 28 Julai di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15.