
KUALA LUMPUR 19 Dis – Muhibbah Engineering (M) Bhd menerima pemberian kontrak daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi melaksanakan kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) berskala kecil melibatkan pelantar kepala telaga di bawah Projek Pembangunan Semula Bersepadu Sepat, luar pesisir Terengganu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu memaklumkan kontrak berkenaan, yang terletak di perairan luar pesisir timur laut Kuala Terengganu, dianggarkan bernilai antara RM700 juta hingga RM850 juta.
Kontrak tersebut dijadualkan bermula pada Disember 2025 dan dijangka siap pada suku pertama 2029.
Menurut Muhibbah, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan, tanpa memberi kesan kepada modal saham atau struktur pegangan saham syarikat.
Pemberian terbaharu itu melanjutkan rekod penglibatan Muhibbah dalam projek PETRONAS Carigali, susulan pembabitan syarikat dalam Projek Gansar yang dianugerahkan pada November 2023.
Ketika itu, Muhibbah dilaporkan memperoleh kontrak bernilai RM318 juta daripada PETRONAS Carigali sebagai rakan konsortium utama bagi Projek Gansar, yang terletak kira-kira 190 kilometer luar pesisir Terengganu.
Selain itu, pada Disember 2022, satu konsortium yang diterajui Muhibbah turut dilaporkan memenangi kontrak bernilai RM322 juta daripada PETRONAS Carigali bagi kerja berkaitan projek sama. - DagangNews.com

