Muhyiddin antara penandatangan akaun sumbangan Bersatu – Saksi

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 4:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Muhyiddin antara penandatangan akaun sumbangan Bersatu – Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara individu yang mempunyai kuasa menandatangani cek akaun CIMB Bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berfungsi menerima sumbangan dan yuran keahlian parti itu. 

Pegawai Kewangan Bersatu, Muhammad Zulhelmi Zaulkafly, 34, berkata, akaun itu mempunyai dua penandatangan dengan Bendahari Agung sebagai penandatangan wajib yang ketika itu dipegang Datuk Mohamed Salleh Bajuri.

Menurutnya, selain Mohamed Salleh, penandatangan bagi akaun berkenaan ialah Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dan Timbalannya ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Bersatu mempunyai dua akaun bank iaitu akaun Ambank dan CIMB Bank. Kedua-dua akaun bank itu dipantau oleh Bendahari Agung,” katanya. 

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, saksi itu berkata, akaun CIMB Bank digunakan untuk menerima sumbangan dan keahlian, manakala akaun Ambank bagi tujuan pentadbiran serta operasi.

Mahadi: Jadi Encik Zulhelmi, untuk kesemua derma atau sumbangan oleh orang awam atau syarikat akan dimasukkan ke dalam akaun bank mana?

Muhammad Zulhelmi: Akaun CIMB Bank.

Saksi itu turut mengakui, Bendahari Agung bertanggungjawab melaporkan urusan kewangan Bersatu kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Menjawab soalan Mahadi sama ada MPT termasuk Presiden Bersatu, Muhammad Zulhelmi menjawab: “Ya.”

Zulhelmi berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram. 

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin, saksi bersetuju bahawa tiada mana-mana individu mempunyai kawalan eksklusif terhadap kewangan Bersatu walaupun akaun berkenaan mempunyai penandatangan.

Mengenai Jawatankuasa Pengurusan Bersatu, Muhammad Zulhelmi berkata, Muhyiddin menyelia dengan mengambil tahu peranan dan perjalanan hal ehwal pengurusan parti itu.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Bekas Presiden Perikatan Nasional itu didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd., yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 17 Ogos.-UTUSAN

The post Muhyiddin antara penandatangan akaun sumbangan Bersatu – Saksi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved