Muhyiddin yakin UMNO akan ‘langgar’ Pas di negeri utara

LocalPolitics
26 Jul 2026 • 8:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Muhyiddin yakin UMNO akan ‘langgar’ Pas di negeri utara

JEMPOL: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa UMNO akan kembali mencabar penguasaan Pas di negeri-negeri utara apabila tiba masanya.

Ia meskipun Barisan Nasio­nal (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kini dilihat bekerjasama sepanjang kempen Pilihan Ra­ya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, kemesraan yang ditunjukkan Pas terhadap UMNO ketika ini adalah bagi mengelakkan pertembungan antara kedua-dua parti.

Menurutnya, Pas menjadikan Negeri Sembilan sebagai medan untuk menghantar isya­rat kepada UMNO supa­ya tidak bertanding sesama sen­diri pada pilihan raya akan datang.

“Supaya UMNO ambil iktibar daripada pilihan raya ini, dia tidak lawan dengan Pas di negeri-negeri Pas di utara.

“Tapi ingatlah, saya percaya UMNO akan melanggar juga dia (Pas),” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang di sini, semalam.

Beliau berkata, kerjasama itu tidak bermaksud UMNO akan terus mengelakkan pertembungan dengan Pas, khususnya di negeri-negeri yang kini ditadbir parti berkenaan.

“Jadi, yang sementara ini di Negeri Sembilan dia peluk-peluk, cium mulut. Esok dia akan hadapi masalah kerana sebenarnya keadaan itu tidak akan berulang di negeri-negeri di utara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meng­gesa rakyat Negeri Sembilan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kerjasama antara BN dan PN yang disifat­kannya sebagai percaturan po­litik semata-mata menjelang pi­lihan raya.

“(Berbanding) Bersatu, kita tak pernah bohong kerana kita parti yang ikhlas berpe­gang pada prinsip yang salah tetap salah dan yang melanggar undang-undang tetap me­langgar undang-undang.

“Prinsip itulah yang parti kita pertahankan selama ini, tak sama seperti parti-parti lain yang tidak berpegang pada apa-apa prinsip,” katanya. – UTUSAN

The post Muhyiddin yakin UMNO akan ‘langgar’ Pas di negeri utara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved