
Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan kes berkenaan terhadap Muhyiddin, 79, yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu masih berdepan tiga pertuduhan salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta.
Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk suapan berjumlah RM200 juta bagi Bersatu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan Projek Jana Wibawa di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Beliau turut dibebaskan daripada tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan terbabit dilakukan atau RM5 juta, yang mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Hakim Noor Ruwena berkata apabila pihak pendakwaan menggunakan peruntukan Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah, perkara itu membawa maksud bahawa pihak pendakwaan tidak lagi berhasrat untuk mendakwa tertuduh atas pertuduhan berkenaan.
“Dalam kes ini, pihak pendakwaan tidak memberikan apa-apa alasan bagi permohonan tersebut selain menyatakan bahawa mereka tidak berhasrat untuk meneruskan pertuduhan, sebagaimana yang telah dinyatakan pihak pendakwaan tadi, namun perkara tersebut diserahkan kepada budi bicara mahkamah.
“Sehubungan dengan itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada empat pertuduhan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Akram memohon perintah daripada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi keempat-empat pertuduhan itu selepas meneliti keseluruhan kedudukan kes.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, permohonan pihak pendakwaan hari ini adalah terhad kepada pertuduhan-pertuduhan tersebut sahaja dan tidak melibatkan pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh,” katanya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Hakim Noor Ruwena bahawa Ahmad Akram ingin memaklumkan satu perkara kepada mahkamah.
Ahmad Akram kemudian memaklumkan perkara berkaitan DNAA itu semasa saksi pendakwaan sedang memberikan keterangan.
“Pihak pendakwaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan pertama (menggunakan kedudukan) serta ketiga-tiga pertuduhan (pengubahan wang haram) terhadap tertuduh yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd,” kata Ahmad Akram.
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memohon mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan suatu pelepasan yang membawa kepada pembebasan, iaitu discharge amounting to acquittal.
Beliau berkata berdasarkan senarai saksi, nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan wakil daripada Bukhary Equity tidak disenaraikan sebagai saksi, sedangkan mereka dikatakan menjadi saksi utama bagi empat pertuduhan terbabit.
“Tiada alasan kukuh telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan mengapa mereka memohon suatu DNAA. Undang-undang sangat jelas bahawa alasan yang kukuh mestilah diberi. Jika tidak, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain memberikan suatu pelepasan yang membawa kepada pembebasan.
“Oleh yang demikian, berdasarkan autoriti tersebut serta alasan yang telah kami kemukakan, perintah yang sewajarnya demi kesaksamaan dan keadilan adalah supaya Tan Sri Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan tersebut,” kata peguam itu.
Muhyiddin kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Pengarah Syarikat KCJ Engineering Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan projek sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman serupa.






