
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada empat pertuduhan membabitkan RM200 juta berkaitan program Jana Wibawa.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noor Ruwena Md Nurdin membenarkan permohonan pendakwaan untuk menghentikan satu pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah RM200 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada empat pertuduhan,” kata Noor Ruwena.
Bagaimanapun, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM25.3 juta bagi Bersatu daripada tiga syarikat iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd, selain ahli perniagaan, Azman Yusoff.
Kesemua pertuduhan itu turut dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Pagoh berusia 79 tahun itu sebelum ini didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk mendapatkan rasuah RM200 juta bagi parti berkenaan daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Muhyiddin turut menghadapi tiga pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity.
Wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun Bersatu di AmBank dan CIMB Bank di Petaling Jaya serta Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022. - Getaran, 15 September 2026





