Muhyiddin juga bukan lagi calon PM - Ahmad Samsuri

LocalPolitics
5 Mar 2026 • 3:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Rabu berhubung kenyataan Muhyiddin.

​KUALA TERENGGANU - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa fokus utama gabungan itu ketika ini adalah untuk memperkukuhkan muafakat berbanding soal calon Perdana Menteri (PM).

​Mengulas mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, Ahmad Samsuri menjelaskan beliau menerima banyak pertanyaan daripada pihak media berhubung status jawatan tersebut.

​"Saya mendapat banyak pertanyaan wartawan mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa 'Dr Sam adalah Pengerusi Perikatan Nasional dan bukan calon PM'.

​"Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia.

​"Yang pasti TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga bukan lagi calon PM," katanya dalam satu kenyataan di laman sosialnya pada Khamis.

​Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam satu wawancara khas memaklumkan bahawa pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan bermaksud Menteri Besar Terengganu itu adalah calon PM bagi gabungan berkenaan.

​Menurut Muhyiddin, isu calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi dan pelantikan Ahmad Samsuri dibuat atas ketetapan Pas yang mahukan tokoh muda diberi ruang.

​Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilaporkan senada bahawa pelantikan tersebut adalah bagi tujuan pengurusan parti dan bukannya pengisytiharan calon pemimpin nombor satu negara.