
PETALING JAYA - Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan bermaksud Menteri Besar Terengganu itu ialah calon Perdana Menteri bagi gabungan berkenaan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, soal calon Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN adalah disebabkan Pas bertegas mahukannya.
Menurutnya, Majlis Tertinggi PN akur dan melihat keputusan itu mungkin kerana ingin memberi ruang dan peluang kepada pemimpin serta tokoh muda.
“Saya baca banyak perbincangan, debat pro kontra, boleh tak boleh, layak tak layak. Ini adalah lantikan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, bukan calon Perdana Menteri. Yang itu, Tuan Ibrahim (Timbalan Presiden Pas) ada sebutkan, saya ‘quote’ dia.
“Dia kata, ini untuk Pengerusi Perikatan Nasional yang menguruskan parti. Tetapi jika ingin naik satu langkah lebih tinggi untuk menjadi calon jawatan Perdana Menteri, itu adalah perkara lain dan tak dibincang pun lagi.
“Pasal bila berbangkit dulu, pernah nama saya dicalonkan, peringatan pimpinan Pas kata, no. Kita tak nak bincang soal tu lagi. Jadi, saya fikir pendirian itu masih kekal. Jadi yang dilantik ialah untuk Pengerusi Perikatan Nasional,” katanya dalam Wawancara Khas bersama media tempatan di Ibu Pejabat Bersatu di sini baru-baru ini.
**media[3452516]**
Tambah Muhyiddin, masih terlalu awal untuk menilai prestasi Ahmad Samsuri dan menyatakan beliau perlu diberikan peluang.
“Bagi dia peluang, dia orang berkelayakan. Pengalaman kurang sikit tapi mana tahu, bila dah dicuba, dah diberi peluang dan kesempatan, dia mampu menunjukkan kebolehan. Jadi, saya rasa okey (tak ada masalah),” jelasnya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, selepas meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, beliau berpendirian bahawa Pas perlu mengambil alih jawatan tersebut.
Jelasnya, jawatan tersebut sewajarnya diisi oleh presiden parti tetapi perlembagaan PN tidak meletakkan syarat tersebut.
“(Jadi) Dia patut lebih seniorlah kan, takkan yang junior jadi pengerusi. Tapi apa pun lepas dah lama berbincang, nampak Pas masih bertegas nakkan Datuk Seri Dr Samsuri.
“Kita ni sahabat dalam perjuangan, kita kata tak apalah. Mungkin ada sebab musabab nak bagi ruang dan peluang kepada pemimpin dan tokoh muda,” katanya.
