Muhyiddin kecam sambutan meriah terhadap Trump, anggap memalukan Malaysia

LocalPolitics
27 Oct 2025 • 10:23 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sambutan meriah yang diberikan Perdana Menteri kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai keterlaluan dan memalukan negara.

Soal maruah dan prinsip kemanusiaan

Dalam kenyataan medianya, Muhyiddin menegaskan tindakan menyambut Trump dengan penuh kemeriahan dan simbolik berlebihan menimbulkan persoalan sama ada maruah diplomatik Malaysia kini bergantung kepada status tetamu dan bukannya prinsip kemanusiaan.

“Tidak wajar Trump diraikan di bumi Malaysia ketika rakyat Palestin sedang bermandi darah dan mati kebuluran di Gaza.

Baca juga:

“Sambutan sedemikian memberi gambaran seolah-olah Malaysia begitu teruja meraikan tokoh yang bersekongkol dengan rejim Zionis Israel,” katanya.

Beliau turut menegur tindakan Perdana Menteri yang dilihat menari bersama Trump, sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengguris hati rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin.

“Simbol keangkuhan dasar luar AS”

Muhyiddin menegaskan, Trump mewakili simbol keangkuhan dasar luar Amerika Syarikat yang secara terang-terangan melindungi kekejaman Israel. Oleh itu, katanya, sambutan keterlaluan terhadap pemimpin seperti itu hanya mencemarkan imej negara.

“Perdana Menteri sering berapi-api mengutuk kekejaman Israel dan konco-konconya. Namun, semangat itu tiba-tiba luntur digantikan dengan senyuman lebar dan sambutan hangat terhadap individu yang menyokong rejim Zionis Israel,” katanya lagi.

Beliau menambah, tindakan tersebut bukan sahaja tidak beretika dari sudut diplomatik, malah memberi isyarat bercanggah dengan pendirian Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.