Muhyiddin seru rakyat hadir Perhimpunan Turun Anwar esok

LocalPolitics
25 Jul 2025 • 9:17 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Muhyiddin dakwa janji Anwar dimungkiri

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia supaya turun beramai-ramai menyertai perhimpunan aman Turun Anwar yang dijadual berlangsung esok di ibu negara.

Beliau mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal mentadbir negara dan memungkiri pelbagai janji kepada rakyat, termasuk menangani isu kos sara hidup, memelihara kebebasan bersuara, serta menjaga prinsip tatakelola yang baik.

“Janji tidak ditunaikan, subsidi dipotong, cukai baharu dikenakan”

Menurut Muhyiddin, kegagalan kerajaan terserlah apabila kos sara hidup rakyat tidak berjaya dikurangkan, malah rakyat semakin terbeban akibat pengenalan pelbagai cukai dan pemotongan subsidi.

“Bantuan RM100 dan penurunan harga petrol RON95 sebanyak 6 sen yang diumumkan baru-baru ini hanyalah langkah terdesak untuk meredakan kemarahan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan semakin ramai rakyat yang diugut, disiasat dan didakwa kerana menyatakan bantahan terhadap dasar kerajaan, sekaligus mencabuli hak rakyat untuk bersuara.

Jangan cetuskan provokasi

Muhyiddin turut memohon kerjasama Polis Di-Raja Malaysia untuk menjaga keamanan sepanjang perhimpunan, dan menasihatkan peserta agar menjaga adab serta tidak mencetuskan provokasi.

“Menyertai perhimpunan aman adalah hak yang dijamin Perlembagaan. Peliharalah hak ini dengan sebaik-baiknya,” tegasnya.

Beliau mengesahkan akan hadir bersama pimpinan Perikatan Nasional dalam perhimpunan esok, dan menyeru rakyat agar turut serta menyatakan suara mereka secara aman.