
KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM223 juta tahun ini, setelah berjaya mengutip RM206.9 juta tahun lepas.
Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang Datuk Halidan Md Daud berkata sasaran itu disifatkan realistik berikutan semakin ramai penjawat awam dan kakitangan swasta yang memahami kepentingan membayar zakat bagi membantu golongan memerlukan.
“Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang berjaya mengutip zakat harta terkumpul sebanyak RM206.9 juta pada tahun 2022 berbanding RM179.2 juta pada tahun 2021. Ini merupakan peningkatan sebanyak 15.4 peratus dengan jumlah 99,843 orang pembayar zakat.
“Ia juga peratusan tertinggi kerana tahun sebelumnya hanya 12 peratus. Untuk tahun ini, kita menyasarkan lebih tinggi supaya mampu membantu lebih ramai golongan asnaf yang layak menerimanya,“ katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sini hari ini.
Tahun lepas, MUIP telah mengagihkan wang zakat berjumlah RM207 juta kepada 124,900 penerima yang melibatkan asnaf fakir miskin, pembangunan masjid dan surau, pembangunan pendidikan, sumbangan dermasiswa dan bantuan awal Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta Program Dakwah dan Pembangunan Mualaf.
Halidan berkata kejayaan PKZ Pahang mencapai sasaran kutipan dibantu pelbagai faktor antaranya mewujudkan skim wakalah, mengadakan Program Cakna Asnaf dan Briged Asnaf, selain berkempen secara agresif untuk menyedarkan orang ramai tentang kewajipan menunaikan zakat.
“Skim Wakalah merupakan skim di mana 30 peratus wang zakat yang dikutip daripada pembayar zakat dikembalikan kepada mereka untuk diagihkan sendiri kepada golongan asnaf manakala Briged Asnaf ialah sukarelawan terdiri daripada ketua masyarakat yang membantu MUIP mencari golongan asnaf dan fakir miskin di tempat mereka.
“Kita tidak hanya mahu agresif dalam mengutip zakat tetapi turut aktif dalam menyalurkan sumbangan zakat kepada golongan yang memerlukan dengan cepat,“ katanya. -Bernama



