
Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak atas pencapaian membanggakan sepanjang 2022 lalu hingga kini.
Tahun lalu, Muis merekodkan pungutan zakat berjumlah RM133.4 juta dan agihan RM122 juta.
Yang di-Pertua (YDP) Muis, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, kejayaan itu melibatkan tiga faktor iaitu memartabatkan syiar islam, memperkasa ekonomi serta sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat islam khususnya di Sabah dan Malaysia amnya.
Katanya, antara pencapaian itu Muis telah berjaya mengekalkan Pensijilan ISO 9001:2015 menerusi pengiktirafan dan anugerah diberikan Juruaudit Bertauliah Antarabangsa SGS (Malaysia) Sdn Bhd.
“Muis juga telah memperolehi Sijil Bersih daripada Jabatan Audit Negara untuk tiga tahun berturut-turut bagi prestasi Penyata Kewangan Tahun 2019, Penyata Kewangan Tahun 2020 dan Penyata Kewangan Tahun 2021.
“Muis turut melakar rekod baharu pencapaian pengurusan dan agihan zakat pada tahun lalu apabila Bahagian Zakat dan Fitrah merekodkan pungutan zakat berjumlah RM133.4 juta dan agihan berjumlah RM122 juta, melebihi unjuran yang dijangkakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Iftar Muis Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.
Yahya berkata, kejayaan itu juga melibatkan pemerkasaan hal ehwal pengurusan wakaf di bawah Bahagian Wakaf dan Baitulmal melalui pelancaran Wakaf Tunai, penganjuran siri jelajah Kesedaran Berwakaf di seluruh negeri.
Selain itu, katanya, Muis turut terlibat dalam pembangunan serta penyelidikan (R&D) variasi produk Wakaf Tunai dan pembangunan Wakaf Hartanah melalui kerjasama strategik dengan pemain industri Wakaf Hartanah, industri perbankan dan sektor korporat.
Menurutnya, antara sektor korporat yang terlibat adalah Yayasan Infaq Angkasa, Waqaf An Nur dan Sirim.
“Manakala di bawah Muis Halal Hub pula, perkhidmatan ‘sertu’ iaitu proses menyucikan sesuatu daripada najis Mughalazah (najis berat) sedang giat dilaksanakan sejak tahun lepas.
“Selain pengenalan Surat Perakuan Patuh Syariah (SPPS) untuk usahawan di bawah industri mikro (home-based), Muis Halal Hub juga sedang dalam usaha membangunkan Makmal Halal dan Ekosistem Halal maritim di Sabah.
Semua pencapaian serta kejayaan itu adalah hasil penglibatan dan sumbangan setiap bahagian termasuk komitmen padu semua warga kerja Muis,” katanya.
Terdahulu, Yahya turut menyaksikan pembayaran zakat perniagaan daripada 13 syarikat berjumlah RM229,000 termasuk penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di majlis itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
