
TAWAU: Peranan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) sentiasa diperkasa dalam hal ehwal pembangunan ummah serta isu sosial Ia termasuklah berkaitan dakwah, keilmuan dan kebajikan seperti bantuan pendidikan, mangsa kebakaran mahupun banjir di seluruh Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata perhatian Muis dalam aspek kebajikan dilaksanakan melalui Bahagian Zakat dan Fitrah (BZS) atau turut dikenali sebagai Pusat Zakat Sabah.
“Muis bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) sentiasa memberi perhatian melalui BZS dalam penyaluran bantuan kepada golongan asnaf.
“Lebih RM20 juta peruntukan diberikan tahun ini bagi bantuan pendidikan dermasiswa”, katanya selepas menyerahkan sumbangan Muis kepada mangsa kebakaran di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas pada Selasa.
Arifin berkata bantuan kebajikan kepada mangsa-mangsa kebakaran juga antara peranan yang terus konsisten dilakukan pihak Muis yang lazimnya melibatkan sumbangan dalam bentuk kewangan sebanyak RM1,000 dan bakul makanan untuk setiap penerima.
Mengulas mengenai insiden yang berlaku di Kampung Hidayat pihaknya akan mendapatkan senarai nama anak-anak sekolah yang terdiri daripada mangsa-mangsa kebakaran untuk dibantu melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
“Kita akan bantu murid atau pelajar terkesan menerusi TPNS yang diasaskan oleh Ketua Menteri untuk membeli bahan atau perkara yang perlu dalam persekolahan mereka seperti buku-buku dan pakaian baharu.
“Kelmarin kita sudah sampaikan bantuan kepada lebih 20 pelajar yang terjejas dalam kes kebakaran lain di daerah sama yang turut terjadi pada tahun ini dan inisiatif sebeginilah yang akan terus kita lakukan”, katanya.
Mengulas lanjut penduduk yang tinggal di kawasan padat penduduk terutamanya di penempatan setinggan dan atas air beliau berharap mereka lebih berhati-hati serta mengikuti nasihat atau panduan yang diberikan pemimpin-pemimpin setempat dalam mencegah kebakaran.
Sementara itu seramai 10 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 66 mangsa kebakaran di Kampung Hidayat menerima sumbangan kebajikan Muis selain bantuan kemanusiaan daripada pemimpin-pemimpin tempatan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
