
ISU scammer yang menggunakan wajah selebriti untuk menjerat mangsa memang bukan perkara asing, namun bagi usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, situasi ini sudah sampai ke tahap yang sangat membimbangkan.
Beliau mengakui imej serta popularitinya kini menjadi sasaran utama sindiket penipuan antarabangsa yang semakin berani mengeksploitasi teknologi demi mengaut keuntungan mudah daripada pengikut setianya.
"Saya terlalu kerap digunakan untuk scammer. Kalau nak tahu, muka paling banyak scam adalah muka saya. Beratus, beribu. Ada yang rugi RM25,000 malah ada sampai RM70,000.
"Sebab bila mereka tengok, mereka guna muka saya. Jual barang saya, tapi pelanggan dapat barang lain," luah Aliff dengan nada kecewa.
Populariti beliau dalam dunia perniagaan ternyata menjadi 'saham' besar buat penipu kerana memiliki nilai komersial yang tinggi.

Taktik yang digunakan sindiket ini cukup licin sehingga ramai yang menyangka mereka sedang berurusan secara peribadi dengan jutawan tersebut.
"Mereka guna muka saya, itu bahaya. Mereka tak real, ada yang dari China dan Vietnam," jelasnya lagi.
Menurut suami kepada Datin Seri Shahida itu lagi, laporan telah dibuat namun sukar diambil tindakan memandangkan dalang di sebalik tabir ini beroperasi di luar sempadan Malaysia.
Lebih mengejutkan, wajah Aliff turut digunakan untuk menjual produk yang langsung tiada kaitan dengan empayar perniagaannya.
"Saya sendiri tengok, kononnya jual jeruk mangga tapi bukan barang saya. Mereka hanya guna muka saya.
"Scammer ini tak boleh buat apa-apa. Mungkin disebabkan muka saya terlalu komersial, jadi mudah untuk orang gunakan," ceritanya.
Bapa kepada enam cahaya mata ini turut menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap golongan warga emas yang sering menjadi mangsa utama.
"Yang tertipu biasanya mak cik-mak cik yang kurang bijak, yang tak tahu pasal IT dan hanya main beli.
"Lepas itu, mereka mengadu pada saya barang-barang itu tak bagus dan tak elok. Kalau nak, beli dekat tempat yang betul," tegasnya.

Jualan mega raya
Isu ini dikongsi beliau ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran kempen Jualan Mega Terlajak Raya Aidiladha, hasil kolaborasi D'Herbs Holdings Sdn Bhd bersama GNI Pharma Sdn Bhd.
Kerjasama sulung berkenaan bukan sekadar pelancaran produk terbaharu, Sabun Blue Peptide dan Gel Mandian Sabun Bidara Papa Laris, malah bertujuan memberi semula kepada pelanggan dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM300,000.
"Kali ini saya ingin memberi semula kepada semua pelanggan yang sentiasa menyokong. Kempen ini bakal berlangsung pada 21 Mei ini selama lima hari dan pemenang bakal diumumkan menerusi Facebook rasmi saya.
Selain wang tunai bernilai RM1,000 hingga RM100,000, ada juga hadiah lain berupa pakej percutian dan umrah. Sebab itu saya uar-uarkan kempen ini, ini bukan gimik," kongsinya penuh semangat.

Bagi mengelakkan lebih ramai yang terpedaya dengan tipu daya scammer, Aliff mengingatkan orang ramai agar hanya mengikuti akaun media sosial rasminya yang sah.
"Sebab itu kita nak menguar-uarkan, waktu live tu hanya di page saya sahaja," ungkap beliau sebagai pesanan akhir agar tiada lagi yang terjerat dengan muslihat jahat sindiket luar negara.






