
ARAU: Kerjasama Pas dan UMNO perlu dimuktamadkan terlebih dahulu, sebelum mengadakan sebarang perbincangan berkaitan agihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atau pilihan raya negeri (PRN).
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, soal agihan kerusi tidak akan pernah habis yang akhirnya membantutkan usaha penyatuan.
Beliau percaya, soal pengagihan kerusi antara Pas dan UMNO akan diselesaikan secara baik.
“Perbincangan soal kerusi pilihan raya ini tidak akan habis. Kalau asyik pasal kerusi silap-silap sampai kiamat pun tidak selesai. Yang paling penting, wujudkan kerjasama dahulu.
“Orang hendak kahwin, kalau bagi syarat macam-macam, tidak kahwinlah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, penyatuan antara Pas dan UMNO jauh lebih penting berbanding soal pengagihan kerusi yang boleh diselesaikan kemudian.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Pas membuktikan keikhlasan kerjasama melalui agihan kerusi pada PRN di negeri SG4 terutama Terengganu adalah tidak wajar ketika penyatuan dua parti itu semakin hampir.
Kata Hashim, UMNO dan Pas sudah berpuluh tahun bergaduh dan apabila ada peluang bersama, jangan memulakan titik perpecahan dengan kenyataan tidak sesuai.
Mohamad berkata, PRN di satu negeri dalam gabungan SG4, khususnya Terengganu wajar dijadikan medan menguji keikhlasan rakan politik menjalin kerjasama.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, cadangan itu boleh membuktikan sama ada kerjasama atas nama penyatuan ummah Melayu benar-benar ikhlas atau sekadar menguntungkan satu pihak.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, perbincangan dalam soal agihan kerusi pilihan raya ketika UMNO dan Pas sudah bekerjasama adalah lebih mudah berbanding perbincangan tanpa ada sebarang ikatan.
“Disebabkan itu, Pas dan UMNO perlu bekerjasama dahulu dan selepas itu, baru berbincang soal kerusi. Saya yakin dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN
The post Muktamadkan kerjasama sebelum bincang kerusi appeared first on Utusan Malaysia.






