Selepas empat kongres, politik Malaysia masih mencari arah

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Selepas empat kongres, politik Malaysia masih mencari arah

EMPAT perhimpunan parti utama, iaitu DAP, PKR, Pas dan UMNO, sudah pun berlalu. Dalam tempoh singkat itu, rakyat mendengar pendirian setiap parti, penilaian terhadap lawan, pencapaian yang mahu diketengahkan serta persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Setiap parti tampil meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai kekuatan, relevan dan wajar diberi kepercayaan.

Namun, selepas empat pentas besar itu, arah politik negara masih belum begitu jelas. Dengan siapa mereka mahu membentuk kerajaan selepas PRU16? Lebih penting, apakah gagasan bersama yang mahu ditawarkan untuk membawa Malaysia ke hadapan?

Tiada parti yang benar-benar menetapkan pilihan gabungan. Masing-masing masih membuka ruang, membaca keadaan dan menilai kemungkinan.

Dalam ilmu politik, keadaan ini boleh dilihat sebagai politik mengejar kuasa, apabila parti lebih menumpukan kedudukan dan peluang membentuk kerajaan berbanding dasar yang mahu dilaksanakan.

Strategi seperti ini bukan perkara baharu. Setiap parti tentu mahu berada pada kedudukan terbaik untuk menang. Namun, apabila hala tuju kerjasama terus dibiarkan terbuka, perbincangan politik mudah tertumpu kepada siapa yang boleh bersama siapa, siapa semakin kuat dan siapa berpeluang menguasai Putrajaya.

Akhirnya, persoalan tentang siapa yang akan memerintah lebih banyak dibincangkan berbanding apa yang mahu dibina untuk negara.

EMPAT PARTI, EMPAT PENCARIAN

DAP kini perlu mengekalkan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan tanpa menghakis identiti serta sokongan penyokongnya. Keputusan untuk kekal sehingga tamat penggal memberi gambaran tentang pendirian semasa, tetapi bentuk kerjasama selepas PRU16 masih belum jelas.

PKR pula berada dalam kedudukan berbeza. Parti yang lahir daripada gerakan reformasi kini menjadi teras kerajaan. Ketika berada di luar kuasa, reformasi menjadi tuntutan. Setelah memegang tampuk pemerintahan, tuntutan itu perlu diterjemahkan melalui pencapaian dan prestasi.

Pada masa sama, PKR perlu melihat bentuk kerjasama yang mampu memastikan kesinambungan kedudukannya selepas pilihan raya.

Pas pula semakin mengukuhkan kedudukan sebagai paksi politik Melayu-Islam. Namun, hala tuju selepas PRU16 masih terbuka, sama ada meneruskan kerangka Perikatan Nasional (PN), memperluas kerjasama atau membentuk susunan baharu.

UMNO pula tampil dengan nada lebih tegas mengenai kekuatan dan masa depannya sendiri, termasuk Agenda Malaysia Biru serta kemungkinan menjalin kerjasama lebih luas.

Pada masa sama, parti itu menegaskan komitmen bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. Keadaan ini mungkin kelihatan bercanggah, tetapi sebenarnya mencerminkan sifat politik gabungan. Rakan dalam kerajaan masih boleh menjadi pesaing dalam pilihan raya.

Keadaan itu tidak semestinya menggambarkan ketidakstabilan. Ia merupakan sebahagian daripada demokrasi yang membenarkan parti berkongsi kuasa sambil terus bersaing mendapatkan sokongan rakyat.

LAWAN, RAKAN, PESAING DAN SATU PENGAJARAN

Sejak 2018, hampir semua parti utama pernah merasai pengalaman sebagai kerajaan dan pembangkang. Lebih menarik, parti yang pernah bertembung sengit juga akhirnya bekerjasama.

UMNO dan Pas pernah bersama melalui Muafakat Nasional (MN). Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula membentuk PN. UMNO, PKR dan DAP yang pernah bertentangan selama puluhan tahun kini duduk semeja dalam Kerajaan Perpaduan.

Politik sememangnya berubah mengikut keadaan. Namun, selepas hampir lapan tahun melalui pelbagai perubahan, Malaysia sepatutnya lebih matang dalam menentukan kepentingan yang perlu didahulukan. Adakah kepentingan parti atau kepentingan negara?

Setiap parti tentu akan menyatakan bahawa negara menjadi keutamaan. Namun, pendirian itu perlu dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar ucapan di pentas kongres.

BERSAING TANPA MENGGAGALKAN PEMERINTAHAN

Pengalaman sejak 2018 juga sepatutnya mengubah cara kita memahami politik gabungan. Berkongsi kerajaan tidak bermakna persaingan perlu dihentikan. Yang lebih penting ialah kemampuan mengurus perbezaan tanpa menjejaskan pentadbiran.

Parti yang berada dalam kerajaan sama tidak perlu mengorbankan identiti atau berhenti mencari sokongan rakyat.

Jerman misalnya menunjukkan model gabungan yang berasaskan dasar. Sebelum membentuk kerajaan, parti-parti berunding mengenai kontrak gabungan dan program yang dipersetujui untuk dilaksanakan serta dinilai rakyat.

Indonesia pula memperlihatkan bentuk kerjasama yang lebih terbuka sehingga bekas pesaing boleh bersama dalam satu pemerintahan, dengan pertimbangan kuasa sering menjadi faktor utama.

Kedua-dua pengalaman ini memberikan gambaran berbeza. Malaysia perlu menentukan bentuk politik gabungan yang sesuai dengan keperluan dan masa depannya.

RAKYAT KINI MEMPUNYAI REKOD UNTUK DIBANDINGKAN

Pengalaman sejak 2018 bukan sahaja memberi pengajaran kepada parti, malah menyediakan rakyat dengan rekod untuk membuat penilaian. Hampir semua pemain utama pernah menjadi kerajaan atau pembangkang. Rakyat juga sudah melihat perbezaan antara janji ketika di luar kuasa dengan tindakan selepas memperoleh mandat.

Menjelang PRU16, penilaian rakyat sewajarnya bergerak melampaui politik identiti. Bukan sekadar parti mana paling dekat dengan kaum, agama atau sentimen tertentu tetapi pihak mana mempunyai keupayaan, pasukan, kestabilan dan gagasan yang paling meyakinkan untuk menerajui negara.

Politik identiti dan prestasi perlu dilengkapi dengan penilaian berdasarkan rekod. Untuk membolehkan rakyat membuat pilihan yang lebih matang, parti pula perlu menawarkan hala tuju yang lebih jelas.

MEMBENTUK KERAJAAN ATAU MEMBINA NEGARA?

Di sinilah empat kongres itu meninggalkan persoalan paling besar. Setiap parti sudah menjelaskan siapa mereka dan mengapa mereka wajar disokong. Namun, bentuk kerjasama selepas PRU16 serta matlamat yang mahu dicapai masih belum cukup jelas.

Adakah gabungan hanya akan ditentukan selepas pilihan raya berdasarkan jumlah kerusi atau rakyat akan diberikan gambaran lebih awal tentang dasar bersama berkaitan ekonomi, pendidikan, reformasi institusi, hubungan masyarakat, produktiviti, teknologi dan masa depan Malaysia?

Perbezaannya besar. Gabungan berdasarkan matematik kerusi boleh membentuk kerajaan. Gabungan yang dibina atas gagasan bersama pula berpotensi membina negara.

Politik kita semakin cekap mengira kerusi tetapi masih kurang berbicara tentang masa depan generasi. Kita juga semakin pantas membaca sentimen pengundi, tetapi belum cukup bersungguh membina kesepakatan mengenai arah negara.

Begitu juga dengan perbincangan mengenai formula gabungan yang sering menguasai wacana politik, sedangkan perancangan untuk Malaysia dalam tempoh 20 atau 30 tahun akan datang jarang mendapat perhatian yang sama.

Politik mengejar kedudukan hanya melihat pilihan raya seterusnya. Politik membina negara perlu melihat lebih jauh. Kedua-duanya tidak bercanggah kerana parti memang perlu menang untuk melaksanakan gagasan. Namun, kuasa seharusnya menjadi alat untuk membina negara, bukan matlamat yang mengatasi kepentingan rakyat.

Selepas empat kongres, kita semakin memahami bagaimana setiap parti melihat kekuatan dan masa depan masing-masing. Yang masih belum jelas ialah bentuk kerjasama selepas PRU16 dan Malaysia yang mahu mereka bina bersama.

Selepas segala pengalaman sejak 2018, sudah tiba masanya politik negara bergerak daripada soalan “siapa bersama siapa” kepada persoalan yang lebih penting, “untuk apa mahu bersama?” Jawapan kepada persoalan itu akan menentukan sama ada politik Malaysia terus berkisar pada perebutan kuasa atau bergerak ke arah agenda membina negara. –UTUSAN

 

PROFESOR  Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

The post Selepas empat kongres, politik Malaysia masih mencari arah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved