Muktamar: Jangan hanya tumpu usaha menang kerusi, Pas perlu sedia perintah Malaysia

LocalPolitics
4 Sep 2026 • 5:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Muktamar: Jangan hanya tumpu usaha menang kerusi, Pas perlu sedia perintah Malaysia

KOTA BHARU: Persediaan menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak boleh hanya tertumpu kepada usaha memenangi kerusi, sebaliknya Pas perlu bersedia mentadbir sekiranya diberikan amanah lebih besar oleh rakyat.

Wakil Pas Johor, Mohd. Firdaus Jaffar berkata, parti iti memerlukan pemimpin, profesional, teknokrat, pakar dan pelaksana yang memahami bidang masing-masing dalam mengurus tadbir pemerintahan.

“Saya fikir inilah ruang yang perlu kita berikan perhatian dengan serius. Begitu juga dengan negeri-negeri yang kita tadbir.

“Apabila kita menyebut negeri model, biarlah ia dapat ditunjukkan melalui pencapaian yang boleh dinilai. Kalau ada yang baik, kita tonjolkan,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden Pas Bertajuk Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan sempena Muktamar Pas Kali-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini hari ini.

Mohd Firdaus berkata, sebarang bentuk kerjasama politik menuju PRU16 perlu dibincangkan lebih awal dan tidak hanya tertumpu kepada pembahagian kerusi.

Katanya, perbincangan mengenai asas bersama sekiranya diberikan amanah untuk memerintah juga perlu berjalan seiring dengan usaha memenangi pilihan raya.

“Bukan sahaja siapa bertanding di mana, tetapi juga apakah asas bersama sekiranya diberikan amanah untuk memerintah. Sebaiknya, perbincangan tentang bagaimana hendak menang berjalan seiring dengan persediaan tentang bagaimana hendak memerintah,” ujarnya.

Menyentuh mengenai penyatuan ummah, Mohd. Firdaus berkata, konsep itu perlu difahami secara lebih matang dan luas daripada sekadar pembahagian kerusi.

Katanya, hubungan Pas dengan UMNO berada pada aras hubungan antara dua parti manakala hubungan Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN) pula berada pada aras dua gabungan yang lebih besar dan kedua-duanya perlu dibezakan.

“Persefahaman menghadapi pilihan raya juga tidak semestinya sama dengan persefahaman untuk membentuk serta mengurus kerajaan selepas kemenangan.

“Pengalaman Negeri Sembilan memberikan pengajaran apabila BN dan PN mengelakkan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya negeri berkenaan, sekali gus menjadikan pembahagian medan pertandingan lebih tersusun,” katanya. – UTUSAN

 

The post Muktamar: Jangan hanya tumpu usaha menang kerusi, Pas perlu sedia perintah Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved