
KOTA BHARU: Dewan Pemuda Pas mahu hubungan dan kerjasama dengan Pemuda UMNO diperkukuh sebagai langkah awal memimpin agenda penyatuan ummah.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, usaha berkenaan perlu dimulakan sekarang kerana masa depan bergantung kepada keputusan dan tindakan yang dibuat hari ini.
Katanya, sebarang bibit perpecahan dan hubungan sesama umat yang semakin renggang perlu segera dirawat sebelum keadaan menjadi lebih sukar untuk dipulihkan.
“Pemuda mesti berani meneruskan agenda penyatuan ini lebih awal kerana masa depan tidak terbentuk dengan sendirinya. Masa depan dibentuk oleh keputusan yang kita buat pada hari ini.
“Keputusan dan tindakan ini mesti bermula sekarang,” katanya ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia Kali Ke-67, di sini hari ini.
Afnan Hamimi berkata, Dewan Pemuda Pas mengangkat amanah besar menerusi tema ‘Memimpin Penyatuan’, bukan sekadar bercakap mengenai penyatuan tetapi menjadi penggerak kepada usaha berkenaan.
“Kita tidak mahu sekadar menunggu orang lain membuka ruang. Kita sendiri mesti menjadi jambatan yang menemukan kekuatan-kekuatan umat yang selama ini berjauhan. Penyatuan yang kita gagaskan tidak bermaksud kelompok lain perlu dihapuskan. Kita tidak mahu membina kekuatan Melayu-Islam dengan menafikan hak kaum dan agama lain,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Pemuda Pas dan Pemuda UMNO sudah mengambil pendirian untuk duduk bersama serta menjadi jambatan kepada usaha penyatuan ummah.
Katanya, perbezaan latar belakang politik dan sejarah antara kedua-dua parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mencari titik persamaan apabila kepentingan umat yang lebih besar menjadi keutamaan.
“Kita mungkin datang daripada parti yang berbeza dan mempunyai sejarah politik yang berbeza. Tetapi apabila kepentingan umat yang lebih besar berada di hadapan, kita mesti mempunyai jiwa yang cukup besar untuk mencari titik yang boleh menyatukan kita.
“Benih kerjasama berkenaan sudah mula ditanam menerusi perkembangan hubungan Pas dan UMNO di (Pilihan Raya Negeri) Johor sebelum usaha sama itu berkembang sehingga dapat dilihat hasilnya di Negeri Sembilan,” katanya. – UTUSAN
The post Muktamar: Pemuda Pas, UMNO pimpin agenda penyatuan ummah appeared first on Utusan Malaysia.






