
KOTA BHARU: Pas mahu kerajaan negeri diberikan ruang lebih jelas dan sah untuk menentukan dasar lebih ketat terhadap operasi premis perjudian termasuk melalui pindaan undang-undang Persekutuan.
Perkara itu antara tuntutan utama dalam usul yang dibawa Pas Kawasan Baling yang diterima tanpa bahas pada Muktamar Pas Kali-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar Pas Kali Ke-72, Ahmad Fadhli Shaari berkata, usul berkenaan turut mendesak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan menilai semula dasar pemberian dan pembaharuan lesen perjudian.
Katanya, kerajaan negeri khususnya negeri-negeri SG4 iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu juga dicadangkan mengemas kini undang-undang sedia ada, dasar negeri dan mekanisme pentadbiran berdasarkan nasihat perundangan bagi membendung aktiviti perjudian.
“Ahli-ahli Parlimen Pas akan membawa perkara ini ke Dewan Rakyat bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan terhadap undang-undang Persekutuan berkaitan supaya kerajaan negeri diberikan ruang lebih jelas dan sah untuk menentukan dasar yang lebih ketat terhadap operasi premis perjudian,” katanya semasa membentangkan ringkasan usul hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, usul itu mengambil kira perkembangan di Kedah apabila kerajaan negeri mengambil pendekatan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan tuntutan Islam.
Katanya, dasar tersebut dicabar melalui proses kehakiman dan Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan kebenaran kerajaan negeri untuk merayu menyebabkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan semakan kehakiman kekal.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, sebanyak 33 usul diterima untuk dipertimbang pada muktamar berkenaan dengan tiga diterima tanpa bahas dan empat lagi untuk dibahaskan. – UTUSAN
The post Muktamar: Pas mahu kerajaan negeri diberi kuasa lebih luas bendung judi appeared first on Utusan Malaysia.




