'Judi bukan hak, tetapi virus kepada masyarakat' - DHPP

LocalPolitics
5 Sep 2026 • 4:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Judi bukan hak, tetapi virus kepada masyarakat' - DHPP
Kumaresan

KOTA BHARU - Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) mahu kerajaan bertegas dalam menangani gejala perjudian yang menjadi virus dalam masyarakat.

Ketua DHPP, Kumaresan Baby Kalidawson berkata, perkembangan teknologi menyebabkan kegiatan perjudian tidak hanya tertumpu kepada premis atau kaunter nombor ekor, tetapi merangkumi permainan 4D, serta platform perjudian dalam talian yang boleh diakses melalui telefon bimbit pada bila-bila masa.

Menurut beliau, keadaan itu menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh daripada kerajaan bagi memastikan masyarakat dilindungi daripada kesan buruk gejala berkenaan menerusi langkah kawalan, pendidikan dan pencegahan yang lebih berkesan.

“Perjudian bukan sekadar kerugian, ia memberi kesan besar kepada institusi keluarga, masalah hutang dan kesejahteraan masyarakat.

“DHPP mohon kerajaan mengawal, mendidik dan melindungi masyarakat daripada masalah perjudian ini. Judi bukan hak golongan bukan Islam, tapi adalah virus kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, akses yang semakin meluas kepada pelbagai bentuk perjudian melalui platform digital menyebabkan gejala itu boleh berlaku tanpa mengira masa dan lokasi sekali gus meningkatkan risiko ketagihan serta pelbagai implikasi sosial kepada masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, usaha menangani perjudian tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu disertai pendidikan berterusan serta langkah pencegahan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan buruk gejala tersebut.

Terdahulu, Muktamar Tahunan Pas Ke-72 turut menerima tanpa bahas usul yang dibawa Pas Kawasan Baling yang menggesa kerajaan Persekutuan memberi ruang lebih jelas kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar lebih tegas terhadap operasi premis perjudian menerusi penambahbaikan peruntukan undang-undang berkaitan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved