Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menzahirkan rasa syukur selepas berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Menerusi hantaran di Facebook, calon Pakatan Harapan (PH) itu mengucapkan terima kasih kepada pengundi Puteri Wangsa atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan beliau akan menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.


“Pagi ini, langkah terasa lebih merendah namun padat dengan kesyukuran.
“Terima kasih Puteri Wangsa atas ruang dan kepercayaan luar biasa ini. Mulai saat ini, saya adalah pekerja anda.
“Mari kita pimpin tangan satu sama lain. Bismillah, masa untuk mula bekerja,” katanya.

Dr Maszlee memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa selepas memperoleh 41,821 undi dalam saingan lima penjuru, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling yang mendapat 36,077 undi dengan majoriti 5,744 undi.
Artikel lain: Ketandusan hujah punca cerita lama dijadikan modal kempen – Maszlee
Turut bertanding ialah calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Sharifah Rashifa Syed Abdul Rashid Aljunied (5,887 undi), Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) (2,332 undi) serta calon Bebas, Wang Wee Siong (227 undi).

Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini disandang Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA yang tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Johor kali ini.
Sumber: FB Dr Maszlee Malik



![[RASMI] PRN Johor: Maszlee menang DUN Puteri Wangsa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/07/12/3579601.webp)

