‘Mulakan dengan wakil rakyat’: Pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam

Politics
27 Jan 2024 • 1:32 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Suhaimi Nasir menyokong cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam dimulakan dengan wakil rakyat.

Suhaimi menjelaskan cadangan Pemuda Umno itu disambut baik oleh pelbagai pihak termasuk beliau sendiri.

“Adalah tidak adil kepada penjawat awam yang secara purata berkhidmat lebih 30 tahun sebelum layak menerima faedah saraan, sedangkan wakil rakyat hanya berkhidmat dalam tempoh lima tahun telah layak menerima pencen,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada wakil rakyat memandangkan tekanan kewangan yang sedang ditanggung oleh kerajaan ketika ini.

SPONSORED CONTENT RM20bil green steel project: Sabah on its way to adopting green technology, says Hajiji Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said Sabah is well on its way to fully adopting the green technology revolution with a RM20 billion green steel project at the Sipitang Oil and Gas Industrial Park (Sogip). Read more “Kita memahami tekanan kewangan ditanggung kerajaan. Sekiranya kerajaan tetap ingin menamatkan skim pencen ini, ia hendak terpakai kepada lantikan politik yang layak menerima skim berkenaan.

“Keputusan kerajaan itu dilihat seperti berat sebelah. Oleh itu, kita mendesak kerajaan agar membuat kajian semula berhubung perkara ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini, tidak lagi menerima pencen tetapi meneruskan sistem persaraan baharu.

“Saya amat bersetuju agar penjawat awam baharu berstatus tetap mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kerajaan akan memberi sumbangan kepada pencarum seperti yang dilakukan dalam sistem sektor swasta.

“Langkah ini akan dapat mengurangkan kos ditanggung kerajaan bagi pembayaran sistem persaraan baharu kepada penjawat awam yang sewajarnya turut membabitkan wakil rakyat,” katanya.

Di bawah sistem persaraan sedia ada, kerajaan dijangka menanggung kos mencecah RM120 billion menjelang 2040 hanya untuk membayar pencen penjawat awam.

Sementara itu, Ketua Wiramuda Parti Tanah Airku (Star), Kong Soon Choi berkata, rancangan kerajaan pusat untuk memansuhkan pencen penjawat awam yang baru dilantik dianggap tidak adil kepada golongan yang menjadi antara penggerak utama jentera kerajaan.

Katanya, rancangan itu sekali gus melemahkan motivasi penjawat awam yang kemudian merugikan negara jika ia dilaksanakan kelak.

“Mengapa dasar tidak popular sebegini perlu diperkenalkan kepada rakyat di saat mereka berdepan cabaran ekonomi getir ketika ini.

“Bukankah penjawat awam antara nadi utama yang menggerakkan jentera kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kong menjelaskan, Wiramuda Star bimbang populariti kerajaan ketika ini dipandang sinis oleh orang ramai terutama bakal penjawat awam yang kecewa dengan pendekatan itu.

“Sejak pentadbiran Kerajaan Madani, nampak tadbir urus yang diperkenalkan telah memuaskan hati majoriti rakyat.

“Penjawat awam sedia ada juga sedang menunggu keputusan sistem kadar gaji baharu yang masih dalam kajian.

“Jangan kerana nila setitik, seluruh susu akan rosak,” tegasnya.

Justeru itu, katanya, Kerajaan Pusat perlu menimbangkan semula cadangan terbabit dan memperkenalkan sistem yang lebih mesra penjawat awam agar mereka terus komited menjalankan tugas demi kemajuan negara.

Kabinet dilaporkan telah bersetuju bahawa penggajian penjawat awam kerajaan baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman berhubung tempoh dan tarikh pelaksanaan akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Beliau berkata kerajaan membuat pendirian itu selepas menilai menjelang 2040, jumlah pencen yang perlu ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun.

Jabatan Perkhidmatan Awam kini menerajui Kajian Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA), yang akan menjadi dasar baharu kerajaan khususnya berkaitan kaedah pencen penjawat awam.

Pengumuman sama dikecam Ketua Pergerakan Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh yang turut mencadangkan agar bayaran pencen kepada wakil rakyat dimansuhkan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan ke atas penjawat awam baharu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.