SEREMBAN – Peguam yang mewakili Undang Yang Empat, termasuk Undang yang tidak diiktiraf, menegaskan bahawa tiada sebarang unsur paksaan terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim untuk menandatangani dokumen proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos lalu.
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, sebelum menandatangani dokumen tersebut, Ismail telah diberikan penerangan terlebih dahulu mengenai keperluan beliau menandatanganinya menurut Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Menurutnya, majlis berkenaan juga berlangsung dalam suasana santai, malah tiada sebarang tekanan terhadap Menteri Besar.
"Pada 3 Ogos 2026, kira-kira jam 8 malam, kesemua Dato’ Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong yang mewakili Dato’ Klana Undang Luak Sungai Ujong telah hadir ke Istana Laguna Biru, Port Dickson untuk majlis makan malam bersama Tunku Nazruddin Tuanku Jaafar.
"Kemudian pada jam 10 malam, Menteri Besar tiba bersama peguam beliau, iaitu Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan kemudiannya Dato’-Dato’ Undang telah menerangkan keputusan mereka memecat Tuanku Muhriz serta memberi penerangan mengenai instrumen proklamasi yang memerlukan tandatangan beliau," katanya dalam sidang media di Galeri Diraja Tuanku Jaafar bagi menerangkan kronologi kejadian yang berlaku di Istana Laguna Biru pada 3 Ogos lalu.
Ujarnya, selepas itu Ismail telah menyatakan persetujuannya untuk menandatangani proklamasi terbabit yang turut disaksikan oleh peguam beliau.
Justeru, Mohd Khairul berpendapat, kemungkinan terdapat pihak lain yang memaksa Menteri Besar berkenaan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah dipaksa berbuat demikian.
"Kami ingin menyatakan bahawa Menteri Besar telah bertindak menandatangani proklamasi berkenaan secara rela hati dan tanpa paksaan, malah dengan kehadiran peguam beliau sendiri.
"Oleh itu, kenyataan beliau bahawa dipaksa menandatangani proklamasi tersebut adalah satu pemikiran terkemudian (afterthought) dan tiada keadaan yang berlaku pada malam tersebut yang mendorong ke arah wujudnya elemen paksaan untuk beliau membuat keputusan," katanya.
Selain itu jelasnya, di bawah undang- undang, unsur paksaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan ialah paksaan yang melibatkan ancaman terhadap nyawa seseorang, ugutan kecederaan atau kehilangan harta benda.
Justeru, kata Mohd Khairul Azam, Menteri Besar perlu membuktikan adanya unsur-unsur tersebut sehingga beliau terpaksa menandatangani proklamasi terbabit.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa majlis tersebut tidak dihadiri oleh pemimpin UMNO lain termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan krisis istana di Negeri Sembilan dijangka lebih meruncing apabila Undang Yang Empat termasuk Undang yang dipertikai menunjukkan dokumen didakwa proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang dikatakan telah ditandatangani oleh Ismail.
Bagaimanapun, Ismail mendakwa beliau dipaksa menandatangani surat cara proklamasi pemecatan Tuanku Muhriz.
Beliau berkata, laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.
Menurutnya, surat cara proklamasi berkenaan ditandatangani tanpa kerelaannya dan dalam keadaan paksaan (duress).
"Saya telah membuat laporan polis sekitar jam 6 petang pada 8 September bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa," katanya.





