Datuk Ismail Lasim didakwa menandatangani proklamasi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir secara rela hati dan bukannya akibat paksaan seperti yang didakwa Menteri Besar itu sebelum ini.
Peguam wakili Undang Yang Empat bersuara
Memetik laporan daripada Buletin TV3, perkara itu ditegaskan peguam yang mewakili Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Datuk Shahbandar pada sidang media di Seremban, petang tadi.
Peguam, Mohd Khairul Azam menyatakan, pada 3 Ogos lalu kira-kira jam 8 malam, Undang Jelebu, Johol, Rembau dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong yang mewakili Undang Luak Sungei Ujong serta Tunku Besar Tampin hadir ke majlis makan malam bersama Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar.
“Pada jam 10 malam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim telah hadir bersama peguam beliau iaitu Datuk Abu Bakar Isa Ramat,” katanya.

Foto: Buletin TV3
Ismail turut diberi penerangan
Menurut Mohd Khairul, dalam majlis tersebut, Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin turut memberikan restu terhadap pelantikan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-9.
Beliau menambah, Ismail turut diberikan penerangan mengenai keputusan berkaitan pemecatan Tuanku Muhriz melalui proklamasi bertarikh 19 April 2026.
Ismail juga dimaklumkan bahawa proklamasi berkenaan memerlukan tandatangan Menteri Besar di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Kami menyatakan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan telah bertindak menandatangani proklamasi bertarikh 3 ogos 2026 berkenaan secara rela hati dan tanpa paksaan dengan kehadiran Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang sentiasa bersama Menteri Besar Negeri Sembilan pada setiap masa di majlis berkenaan,” katanya.

Foto: FB Dato’ Ismail bin Lasim
Sehubungan itu, dakwaan Ismail bahawa beliau menandatangani proklamasi tersebut kerana dipaksa disifatkan sebagai ‘afterthought’ atau pemikiran terkemudian.
Mohd Khairul menegaskan, tiada keadaan pada malam berkenaan yang menunjukkan wujudnya unsur paksaan terhadap Menteri Besar.
Sebelum ini, Ismail mendakwa beliau menandatangani proklamasi tersebut tanpa rela hati selain membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Beliau turut mendakwa proklamasi berkenaan tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Sumber: Buletin TV3 (Farah Nabilah Wazer)





