Munoz puji persembahan luar biasa JDT

LocalFootball
10 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Munoz puji persembahan luar biasa JDT

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kemenangan besar 6-0 menewaskan juara Liga Perdana Kemboja, PKR Svay Rieng FC dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) sebagai bukti karakter dan tenaga luar biasa yang dimiliki para pemainnya.

Menurut Munoz, di sebalik keputusan dominan itu, perlawanan tersebut bukanlah tugas mudah berikutan pasukan lawan yang memberikan penentangan sengit menerusi corak permainan terbuka dan taktikal ‘man-to-man’.

“Pujian perlu diberikan kepada para pemain kerana tahap persembahan mereka amat luar biasa. Walaupun keputusan akhir kelihatan mudah buat sesetengah pihak, saya tahu keupayaan sebenar lawan dan kualiti yang mereka miliki.

“Selepas tempoh rehat antarabangsa yang panjang tanpa saingan kompetitif, para pemain kembali ke padang dengan karakter, kuasa, dan tenaga yang sama,” katanya.

Mengulas mengenai dominasi permainan pada babak pertama yang sekadar menghasilkan satu gol, pengendali kelahiran Sepanyol itu menegaskan perkara utama adalah keupayaan pasukannya mencipta deretan peluang berbahaya.

Jelasnya, walaupun skuad bimbingannya mensia-siakan beberapa peluang keemasan termasuk situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, beliau sentiasa mengingatkan pemain supaya kekal percaya dengan perancangan taktikal yang ditetapkan.

“Perkara paling penting ialah para pemain mempunyai kapasiti untuk mencipta peluang tersebut. Walaupun pada separuh masa pertama kita ada mungkin lima situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, inilah bola sepak.

“Apa yang penting kami terus percaya dengan apa yang kami lakukan dan pada babak kedua, kami kembali membuka ruang dan menjaringkan gol,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menghambur pujian kepada pemain muda Daniesh Amirruddin yang mempamer kematangan dalam persembahan di pentas antarabangsa.

“Kejohanan ini memberi peluang kepada kami untuk memberikan minit permainan kepada pemain muda. Akademi bekerja dengan sangat baik dan melahirkan pemain berkaliber yang sedia diserapkan ke skuad utama.

“Daniesh menunjukkan potensinya dalam beberapa perlawanan terakhir, kita perlu bagi dia ruang untuk terus gilap bakatnya. Ini baru langkah permulaan kerana beraksi bersama JDT menuntut komitmen serta standard yang sangat tinggi,” katanya. – UTUSAN

The post Munoz puji persembahan luar biasa JDT appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved