
JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji mentaliti kemenangan yang ditampilkan anak buahnya selepas membenam kelab Kemboja, Preah Khan Reach (PKR) Svay Rieng FC 6-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee.
Xisco berkata, perkara paling penting bukan sekadar jumlah jaringan yang dihasilkan, sebaliknya kemampuan pemainnya memahami corak permainan lawan dan melaksanakan perancangan pasukan dengan berkesan.
“Kami perlu memahami situasi permainan, bagaimana hendak berlari ke ruang, melakukan larian di belakang pertahanan dan mencari peluang untuk menyerang dari dalam atau belakang benteng lawan.
“Perkara paling penting adalah kami terus berpegang kepada idea permainan sendiri dan memahami apa yang perlu dilakukan dalam setiap situasi,”katanya.
Xisco turut mengingatkan pemain supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan besar kerana setiap perlawanan mempunyai cabaran berbeza yang menuntut tahap fokus serta komitmen tinggi.
Sementara itu, pemain JDT, Marcos Guilherme menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil kerja keras yang dilakukan secara konsisten dalam setiap sesi latihan.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Saya cuba memberikan yang terbaik setiap hari ketika latihan dan menikmati setiap peluang untuk bermain.
“Saya juga berterima kasih kepada jurulatih kerana banyak membantu meningkatkan permainan saya. Beliau sentiasa cuba berkomunikasi dengan saya untuk membantu saya menjadi pemain yang lebih baik,” katanya.
The post ACC: Xisco tak mahu JDT dibuai mimpi appeared first on Kosmo Online.






