Murid 6 Tahun Yang Lepasi Ujian Diagnostik KPM Sahaja Boleh Masuk Darjah 1 – Fadhlina

LocalFamily & Parenting
21 Jan 2026 • 3:49 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (20 Januari), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 telah mengumumkan bermula 2027, pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun manakala darjah satu pula seawal umur 6 tahun.

Namun pelaksanaan pendidikan awal itu bukanlah satu kewajipan tetapi pilihan secara sukarela. Pengumuman ini sekaligus menerima pelbagai reaksi ibu bapa di platform media sosial. Sesetengah bersetuju manakala ada juga segelintir penjaga yang memberikan respon sebaliknya.

Menerusi semakan kami di laman Threads, seorang wanita berpendapat bahawa pelaksanaan tersebut hanya akan membebankan ibu bapa, malah dalam masa sama memenuhkan sekolah sedia ada pada ketika ini.

Selain itu ada juga seorang ibu yang berkata bahawa segelintir kanak-kanak berumur enam tahun belum bersedia lagi daripada segi fizikal dan mental untuk melangkah ke alam sekolah rendah.

View on Threads
View on Threads
View on Threads

Murid Perlu Lepas Ujian Diagnostik Untuk Layakkan Diri Masuk Tahun 1

Ramai percaya bahawa keputusan memasukkan kanak-kanak enam tahun ke darjah satu hanya memerlukan persetujuan ibu bapa sahaja namun hari ini (21 Januari), Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan hanya murid yang melepasi ujian diagnostik khas sahaja boleh memasuki Tahun 1 pada 2027.

Memetik Sinar Harian, ujian terbabit akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelas Fadhlina, langkah tersebut selaras dengan pelaksanaan RPM selain memberi fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menentukan haluan pendidikan awal anak-anak.

Tambah beliau, dasar baharu itu bukan satu paksaan yang perlu diikuti oleh semua ibu bapa sebaliknya satu pilihan yang perlu disokong oleh sistem ujian diagnostik khas untuk menilai tahap psikoemosi, kemahiran serta kebersediaan murid sebelum melangkah ke Tahun 1.

“Kita tidak serahkan keputusan ini kepada ibu bapa semata-mata. Anak-anak mesti melalui ujian diagnostik terlebih dahulu. Dari situ, kita akan kenal pasti sama ada mereka benar-benar bersedia untuk mengikuti kurikulum baharu di Tahun 1,” ujar Fadhlina.

Menteri Pendidikan tersebut berkata ibu bapa yang membuat keputusan untuk menghantar anak berumur enam tahun ke darjah satu perlu mendaftarkan anak mereka untuk mengikuti ujian diagnostik khas yang mana pelaksanaannya akan diumumkan pada masa akan datang.

KPM Akan Bina Lebih Banyak Sekolah Jika Jumlah Murid Terlampau Tinggi

Mengulas lanjut, persediaan pelaksanaan dasar terbabit turut melibatkan aspek prasarana sekolah, penjadualan guru serta sokongan sistemik yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

KPM kini sedang mengenal pasti sekolah yang bersedia untuk melaksanakan dasar tersebut, termasuklah pembinaan kelas baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mengatasi isu kepadatan pelajar.

“Kita sudah ada pengalaman membina lebih 100 sekolah menggunakan IBS untuk mengatasi masalah sekolah padat. Jadi, jika ada keperluan tambahan, kita bersedia melaksanakannya dalam tempoh singkat,” ujarnya.

Guru Akan Diberi Latihan Untuk Menyokong Pelaksanaan Murid Enam Tahun Masuk Darjah 1

Selain isu kesediaan murid, ramai juga bimbang sekiranya para guru tidak bersedia dengan pelaksanaan baharu ini. Cakna dengan isu dibangkitkan, Fadhlina menekankan bahawa penjadualan dan penempatan akan disusun berdasarkan data yang diperoleh melalui ujian diagnostik khas terbabit.

Para pendidik juga akan diberi latihan khusus bagi menguasai aspek tertentu sebagai persediaan menyokong murid sebelum melangkah ke alam Tahun 1.

“Guru kita sentiasa ada. Yang penting ialah bagaimana kita menyusun penempatan mereka untuk memenuhi keperluan murid enam tahun yang akan masuk Tahun 1,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Umur 6 Tahun Masuk Darjah 1? Ini FAQ & Info Bagi Kemasukan Murid Tahun 1 2027 Yang Ibu Bapa Patut Tahu