Murid 8 tahun retak di belakang kepala, cedera dilanggar di hadapan sekolah

21 Feb 2025 • 8:37 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang murid lapan tahun dilaporkan mengalami retak di belakang kepala, luka di tubuh badan dan kecederaan lain akibat dilanggar sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 11 (1) petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed,kejadian berlaku pada 4.45 petang ketika kanak-kanak lelaki itu berjalan dari laluan pejalan kaki di sebelah Blok C Apartmen Zon 6B, melintasi Jalan P11J/1 di hadapan sekolah.

Ujarnya, mangsa telah dilanggar oleh seorang pemandu wanita dan mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Putrajaya.

“Mangsa dilanggar kereta dipandu wanita di laluan utama dan dibawa ke Hospital Putrajaya. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Memetik laporan dari Harian Metro, orang awam telah bertindak mengeluarkan mangsa dari bawah kereta dan menterbalikkan kenderaan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan, beliau terus ke hospital Putrajaya sebaik sahaja dimaklumkan berita berkenaan.

“Saya juga mendapat penerangan lanjut daripada doktor yang merawat adik Hanafi.

“Saya mohon jasa baik sahabat-sahabat sekalian untuk mendoakan agar adik Hanafi diberikan kesembuhan dan segala urusan keluarga dipermudahkan. Kita doakan yang terbaik untuk adik Hanafi,” tulisnya di hantaran Facebook.