Murid SK Sungai Dua selamat dikebumikan. 'Guru & rakan antara yang mengiringi perjalanan akhir Mohamad Fahmi'

21 Feb 2025 • 5:26 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Allahyarham Mohamad Fahmi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai, Penaga dengan dihadiri lebih 150 jemaah.

Guru dan rakan sekolah antara yang mengiringi perjalanan terakhir murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, hingga selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai, Penaga pada petang Jumaat.

Turut serta memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah ahli keluarga, saudara mara, pemimpin kawasan dan komuniti setempat.

Hujan renyai dan cuaca mendung dapat dilihat di kawasan tanah perkuburan hingga menimbulkan rasa sayu dan hiba dalam kalangan lebih 150 jemaah yang hadir.

image is not available

Sebelum itu, jenazah yang dibawa pulang dari Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), tiba di rumah neneknya, Hambiah Kassim, 75, sekitar jam 2.20 petang.

Terdahulu, Sinar Bestari melaporkan Allahyarham Mohamad Fahmi meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, berkata, arwah yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP telah menghembus nafas terakhir di sisi ibu bapa yang tercinta malam tadi.

image is not available