Murid darjah dua maut dilanggar depan sekolah: Pemandu van direman tiga hari

Local
6 May 2026 • 12:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Murid darjah dua maut dilanggar depan sekolah: Pemandu van direman tiga hari

SHAH ALAM, 6 MEI: Pemandu van yang melanggar murid perempuan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat tengah hari semalam, direman tiga hari.

Majistret Nurasidah A Rahman membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek berusia 60 tahun bermula hari ini hingga Jumaat, lapor Berita Harian.

Permohonan reman terbabit bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, suspek tiba di mahkamah pada jam 8 pagi diiringi anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sebelum dibawa masuk ke mahkamah untuk prosiding reman.

Sebaik selesai prosiding reman kira-kira 15 minit kemudian, suspek kelihatan tenang ketika dibawa keluar sebelum dibawa menaiki kenderaan polis.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, murid Tahun Dua Nur Aini Humairah, 8, maut selepas dilanggar dan digilis van dipandu suspek di hadapan pintu pagar utama sekolahnya. Mangsa cedera parah, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa minit sebelum ketibaan ibunya, Asmilah Tukiran, 37, untuk menjemput pulang sebaik sesi persekolahan tamat.

Jenazah Nur Aini Humairah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Parit Mustafa, Parit Sulong, dekat sini, 8.35 malam tadi.

View Original Article