Murid maut, bapa cedera motosikal terbabas dirempuh kereta

10 Sep 2026 • 12:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Murid maut, bapa cedera motosikal terbabas dirempuh kereta
Mangsa maut di lokasi kejadian dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Temerloh-Mentakab pada Rabu. Foto: IPD Temerloh

TEMERLOH - Seorang murid sebuah maahad tahfiz di sini maut selepas motosikal yang dinaiki bersama bapanya terbabas melanggar penghadang jalan sebelum dirempuh kereta dalam kejadian di Kilometer 2, Jalan Temerloh-Mentakab di sini pada Rabu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa, warga Indonesia, Nur Yuuna Aqilah, 9, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, bapa mangsa, Syafriyandi Ismail, 55, yang merupakan seorang pemastautin hanya mengalami cedera ringan.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki itu terpaksa dihantar dan menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini selepas mengalami serangan jantung.

"Pemandu kereta berusia 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda Beat dan kereta Perodua Bezza.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa dua beranak terbabit dalam perjalanan menghala ke arah bandar Mentakab sebelum terbabas, melanggar penghadang di tengah jalan dan terjatuh di laluan bertentangan.

"Pada masa sama, kereta dipandu penuntut sebuah universiti dalam perjalanan menghala ke arah bandar Temerloh tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa," katanya.

Mohd Nasyim berkata, akibat kemalangan tersebut, kanak-kanak perempuan terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved