Penunggang motosikal maut terbabas di Jalan Cyberjaya-Putrajaya - Polis

9 Sep 2026 • 5:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penunggang motosikal maut terbabas di Jalan Cyberjaya-Putrajaya - Polis
Seorang lelaki tempatan maut, manakala pembonceng wanita warga asing cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan bergesel dengan besi penghadang jalan di Kilometer 47.1 Jalan Cyberjaya-Putrajaya, pagi tadi.

PUTRAJAYA - Seorang lelaki tempatan maut, manakala pembonceng yang merupakan seorang wanita warga asing cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan bergesel dengan besi penghadang jalan di Kilometer 47.1 Jalan Cyberjaya-Putrajaya, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menerima makluman tentang kemalangan itu pada 7.32 pagi.

"Siasatan awal mendapati motosikal Yamaha 135LC berwarna biru itu dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 30-an bersama dengan seorang wanita warga asing berusia 40-an, yang dalam perjalanan dari arah Dengkil menghala ke Putrajaya.

"Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai penunggang motosikal telah hilang kawalan lalu terbabas dan bergeser dengan besi penghadang jalan yang berada di sebelah kiri lorong kecemasan sebelum kedua-duanya terjatuh di atas permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norhizam berkata, penunggang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan hospital.

"Pembonceng pula mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan leher serta mendapat rawatan di hospital,” katanya.

Menurutnya, mangsa lelaki yang bekerja di sebuah pusat jagaan warga emas swasta itu mempunyai lesen memandu yang masih sah tempoh, manakala pembonceng wanita warga asing itu turut bekerja di pusat jagaan warga emas swasta.

Beliau berkata kes disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Norhizam turut menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin menerusi talian 019-5588221 atau 03-87774264,” katanya. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved