Murid maut dilanggar: Polis tahan pemandu van

5 May 2026 • 11:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Murid maut dilanggar: Polis tahan pemandu van
Polis menahan pemandu van yang disyaki melanggar murid Tahun Dua hingga maut di SK Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat. Foto IPD Batu Pahat

BATU PAHAT - Polis menahan pemandu van yang dipercayai melanggar seorang murid perempuan hingga maut dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 60 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika sebuah van yang sebelum itu berada dalam kawasan sekolah selepas menghantar barang sedang bergerak keluar melalui pintu utama menuju ke Jalan Simpang Lima, Parit Sulong.

"Pada masa sama, mangsa yang sedang berjalan kaki di hadapan pintu pagar sekolah dipercayai terlibat dalam perlanggaran dengan kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.

Menurut beliau, pemandu van terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan dijalankan atas kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian.