Murid PPKI Simpang Ampat rasai pengalaman berniaga di pasar tani

LocalBusiness & Finance
24 Oct 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Murid PPKI Simpang Ampat rasai pengalaman berniaga di pasar tani

KANGAR: Murid-murid dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Ampat mengambil inisiatif menjana pendapatan sendiri dengan menguruskan jualan makanan dan sayur-sayuran hidroponik di pasar tani di sini pada setiap minggu.

Inisiatif di bawah program usahawan cilik itu sekali gus membantu murid-murid ber­kenaan merasai sendiri penga­laman sebagai usahawan selain membuka ruang kepada mereka membina keyakinan diri, berkomunikasi dan mengasah kemahiran berdikari ­melalui pengalaman berniaga secara langsung bersama masyarakat.

Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Simpang Ampat, Azliza Hamad, 51, berkata, program diperkenalkan itu melibatkan 32 murid PPKI tahap dua dengan bimbingan guru dan pembantu pengurusan murid (PPM) sekolah.

Katanya, murid-murid menyedia dan menjual popia serta sayur-sayuran hidroponik di Pasar Tani Kekal (PTK) Simpang Ampat di sini pada setiap Khamis selain turut mengusahakan tanaman bunga telang bersama nanas.

“Usahawan cilik ini terdiri daripada empat kumpulan iaitu kumpulan jualan membabitkan jualan popia dan sayu­ran hidroponik di pasar tani. Kemudian ada kumpulan hidroponik yang menguruskan sayuran hidroponik dan ketiga untuk bunga telang dan keempat untuk tanaman nanas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Azliza berkata, pada peringkat awal, guru dan PPM membantu memberi bimbingan kepada murid-murid terlibat dalam menguruskan perniagaan dan selepas menjalani latihan berulang kali, mereka semakin memahami proses atau kerja-kerja dilakukan, seterusnya mengurus perniagaan dengan lebih yakin.

“Bila terdedah berniaga di pasar tani ini, mereka (murid-murid) membina keyakinan bersosial dan berkomunikasi dengan masyarakat. Di sam­ping itu, murid-murid ini bekerjsama untuk sediakan jualan selain belajar matematik, pe­ngiraan dan cara jadi usahawan cilik,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Simpang Ampat, Syagul Yuhanis Mohd. Yusof berkata, pelaksanaan program tersebut dijalankan di tapak pasar tani yang terletak berhadapan sekolah berkenaan pada setiap Khamis bermula dari pukul 8 sehingga 11.30 pagi. – UTUSAN

The post Murid PPKI Simpang Ampat rasai pengalaman berniaga di pasar tani appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved