Zakat Selangor, SPNB kerjasama bina rumah asnaf

20 Oct 2026 • 5:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Zakat Selangor, SPNB kerjasama bina rumah asnaf

SHAH ALAM – Golongan asnaf di Selangor bakal menikmati kediaman sendiri menerusi kerjasama Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui Program Rumah Mesra Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, inisiatif itu menggabungkan subsidi kerajaan dan pembiayaan zakat bagi membantu golongan memerlukan mendapatkan kediaman yang lebih selesa dan selamat.

Menurutnya, bantuan itu menyasarkan asnaf yang kehilangan rumah akibat bencana seperti kebakaran dan banjir sehingga kediaman mereka perlu dibina semula, bukannya sekadar dibaiki.

“Selain keperluan makanan dan kesihatan, tempat tinggal yang sempurna juga penting bagi memastikan golongan asnaf dapat menjalani kehidupan dengan lebih bermaruah.

“Sebelum ini, Zakat Selangor berusaha membantu kes yang memerlukan pembinaan semula rumah, tetapi usaha itu memerlukan sistem tersusun serta pegawai dan jabatan khusus untuk memantau pelaksanaannya.

“Jadi, kerjasama dengan SPNB dapat menggunakan kepakaran dalam kontraktor bina rumah asnaf yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sepetang Bersama Media dan pelancaran Kempen Hujung Tahun Zakat Selangor di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Mohd. Khaidzir dengan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Abdul Hamid Abdullah.

Katanya, kos pembinaan sebuah rumah di bawah Program Rumah Mesra Rakyat dianggarkan antara RM70,000 hingga RM90,000 dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000.

“Baki kos sekitar RM50,000 akan ditanggung Zakat Selangor. Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding kos yang perlu ditanggung sekiranya kita melaksanakan pembinaan rumah sendiri tanpa kerjasama SPNB,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, bantuan itu melibatkan pembinaan rumah di atas tanah milik penerima yang mempunyai hak milik sah, termasuk tanah pusaka yang menempatkan rumah daif atau kediaman yang perlu dibina semula akibat bencana.

“Kes turut melibatkan Orang Asli yang memeluk Islam. Sekiranya tanah adat yang digazetkan itu disahkan milik mereka, mualaf serta rumah mereka daif, mereka juga layak menerima bantuan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Zakat Selangor, SPNB kerjasama bina rumah asnaf appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved